‘Tiga tahun tiada perubahan’

0
65

GAMBAR Facebook HRH Crown Prince Of Johor

CYBERJAYA 3 Dis. – Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan rasa kecewa apabila tiada sebarang usaha pemulihan dilakukan di tapak wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Johor yang terbakar tiga tahun lalu.

Menerusi status akaun Facebook HRH Crown Prince Of Johor, Tunku Ismail berkata, rakyat pasti tidak dapat melupakan kejadian mengejutkan seluruh negara berikutan kebakaran di wad tersebut sehingga mengorbankan enam pesakit.

GAMBAR Facebook HRH Crown Prince Of Johor

Beliau menambah, kejadian itu sepatutnya menjadikan kerajaan lebih teliti dan prihatin terhadap kebajikan rakyat.

“Saya mengikut rapat perkembangan mengenai isu ini dan telah membuat lawatan ke wad berkenaan pada tahun lepas, iaitu pada 1 November 2018.

“Setelah satu tahun berlalu, saya sekali lagi membuat lawatan ke wad berkenaan iaitu pada hari ini, namun keputusannya amatlah mengecewakan.

GAMBAR Facebook HRH Crown Prince Of Johor

“Saya terkejut melihat keadaan wad itu yang masih mempunyai kesan kebakaran dan seolah-olah tiada usaha untuk memperbaiki atau memulihkannya walaupun tiga tahun telah berlalu,” katanya.

Beliau juga nyata kecewa kerana tiada perubahan dilakukan sejak tiga tahun lalu.

“Adakah rakyat Johor kini dianak-tirikan sehinggakan fasiliti penting untuk rakyat Johor telah menjadi tempat terbiar?

GAMBAR Facebook HRH Crown Prince Of Johor

“Sehingga hari ini, mengapa insentif-insentif kerajaan Persekutuan untuk kerajaan negeri dan rakyat Johor semakin berkurangan, sehinggakan selepas tiga tahun pun wad hospital tidak dibaiki?,” ujar beliau.

Tunku Ismail berharap hal melibatkan kepentingan rakyat tidak diabaikan begitu saja kerana itu yang perlu diutamakan oleh pihak memerintah.

“Dalam keadaan ekonomi negara sekarang yang sukar, kebajikan rakyat dan terutamanya kemudahan asas seperti kemudahan perubatan haruslah diberikan keutamaan,” tegas beliau.

Tunku Ismail menjelaskan, Johor menyumbang 9.6 peratus terhadap ekonomi negara pada tahun 2018, iaitu sebanyak RM138.9 billion.

“Maka rakyat Johor berhak mendapatkan kemudahan yang terbaik bagi kesenangan hidup mereka,” ujar beliau. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here