
CYBERJAYA 1 Dis. – Jabatan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Kelantan terpaksa membawa jenazah menaiki trak bomba selepas perkarangan rumah mangsa dinaiki air separas satu meter (m) di Kampung Bakong, di Pasir Mas, hari ini.
Memetik portal Harian Metro, Fatimah Awang, 73, meninggal dunia pukul 10.30 malam tadi akibat terjatuh, ketika cuba mengalihkan motosikal di depan rumahnya dinaiki air sejak petang semalam.
Suaminya, Ya Kassim, 73, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam rumah sebelum dikejutkan dengan suara cucu yang menjerit memberitahu neneknya rebah.
“Saya bergegas keluar untuk mengangkat arwah, namun tidak berdaya sebelum meminta bantuan jiran dan menelefon anak-anak. Kami mendapatkan bantuan Klinik Kesihatan Meranti dan pihaknya mengesahkan isteri saya sudah meninggal dunia.
“Sayu hati saya apabila isteri tercinta ‘pergi’ dahulu kerana baru beberapa hari lalu kami duduk berbincang tentang kematian, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi.
“Kami terpaksa memohon bantuan pihak polis dan bomba kerana air sudah mencecah satu m di perkarangan rumah untuk menyelesaikan pengurusan jenazah dan membawanya ke tanah perkuburan,” katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Bakong, di Pasir Mas, hari ini.
Ya yang mempunyai enam orang anak berkata, jenazah isterinya terpaksa dikebumikan di Tanah Perkuburan Banggol Che Wan dengan jarak lapan kilometer dari rumahnya kerana tanah perkuburan yang terdekat turut dinaiki air.
“Ini semua aturan Tuhan, saya tidak menyangka arwah akan pergi ketika banjir. Arwah seorang yang sangat baik dan peramah dengan penduduk kampung selain tidak mempunyai sebarang penyakit.
“Arwah pasti akan dirindui terutama dalam kalangan cucu yang sangat rapat dengannya.
“Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada pihak polis dan bomba yang terbabit kerana cekap dan cepat membantu. Tanpa bantuan agensi keselamatan ini pasti urusan mengambil masa yang lama,” katanya.
Sumber berita dari Harian Metro