Vivoactive 3 music: Lupakan beban gajet anda

0
73

MENIKMATI muzik kegemaran ketika keluar bersenam pasti sesuatu yang mengasyikkan tetapi agak merimaskan sekiranya terpaksa ‘mengusung’ telefon pintar bersama.

Lupakan sahaja beban serta saiz gajet yang memenuhi poket anda kerana Garmin baru-baru ini memperkenalkan variasi terbaharu jam tangan pemantau kecergasannya iaitu Vivoactive 3 Music.

Pengenalan gajet ini merupakan penampilan kedua produk yang dilengkapi fungsi muzik selepas Forerunner 645 Music awal tahun lalu bagi memenuhi cita rasa pengguna yang kian kompleks.

Versi dipertingkatkan daripada Vivoactive 3 memasuki pasaran tahun lalu ini berkeupayaan menyimpan kira-kira 500 lagu yang boleh dinikmati melalui alat pendengaran berfungsi bluetooth.

Bagi penggunaan maksimum fungsi muzik dan pemantauan sukan, Garmin menetapkan jangka hayat baterinya mampu bertahan sehingga lima jam manakala kapasiti bagi penggunaan biasa adalah kira-kira lima hari.

Dari segi kosmetik, Vivoactive 3 Music kini diperbaharui dengan kemasan cermin aerodinamik tahan lasak selain mempamerkan reka bentuk moden dan minimal.

Penambahan fungsi muzik pada jam pemantauan kecergasan dan sukan ini sekali gus meletakkan persaingan hebat di antara gajet-gajet seperti Apple, Fitbit dan Samsung.

Selain dilengkapi fungsi daripada versi terdahulu, produk ini turut diperkemaskan dengan gedung Garmin Connect IQ yang membolehkan pengguna memuat turun aplikasi, widget, lapangan data dan pelbagai bentuk rekaan antara muka baharu.

Penyediaan maklumat di pergelangan tangan membolehkan pemakai mengakses dengan mudah setiap fungsi kecergasan seperti bilangan langkah, pembakaran kalori, jarak aktiviti, pendakian anak tangga, bacaan suhu, kawalan muzik dan ramalan cuaca.

Fungsi lain termasuk kompas, penentuan profil pemakai, kuncian automatik, getaran dan intesity minutes yang membolehkan pengguna memantau jumlah waktu aktif sepanjang minggu untuk membantu mencapai sasaran kecergasan yang ditetapkan.

Selain kemampuan merekod pelbagai jenis aktiviti, fungsi peranti kesihatan ini semestinya tidak lengkap tanpa pemantauan aktiviti kardiovaskular melalui fungsi pengesanan kadar degupan jantung (HRM).

Pengesanan HRM secara optikal pada pergelangan tangan itu membolehkan pemakai memantau data dan prestasi yang direkod secara terperinci melalui aplikasi Garmin Connect.

Fungsi penjejak tidur juga berfungsi memantau perubahan kadar denyutan jantung secara lebih tepat.

Garmin Connect pada Vivoactive 3 Music juga menawarkan interaksi interaktif melalui notifikasi daripada emel, media sosial, khidmat pesanan ringkas dan sebagainya.

Selain kawalan mudah di hujung jari, pemakaian jam tangan ini seberat 43 gram ini juga cukup selesa dengan tali getah tahan lasak.

Keselesaan paparan skrin juga jelas dalam persekitaran cahaya gelap melalui fungsi pencahayaan latar belakang dan juga cukup berkesan dalam cahaya terang.

Gajet yang dibawa masuk oleh pengedar rasmi Garmin, AECO Technologies ini turut didatangkan dengan pelbagai pilihan paparan muka jam untuk kegunaan sukan dan kasual. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here