Waktu solat subuh: Wilayah Persekutuan ikut jejak Selangor

0
209

CYBERJAYA 29 Nov. – Bermula esok azan subuh seluruh kawasan di bawah Wilayah Persekutuan iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan dilewatkan selama lapan minit berbanding taqwim solat Wilayah Persekutuan yang sedia ada.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr.
Zulkifli Mohamad al-Bakri, keputusan itu diambil susulan isu tambahan lapan minit sebagai permulaan masuk waktu subuh dari waktu sedia ada dalam taqwim di Selangor.

“Hal ini kerana ditukar darjah dari 20 darjah kepada 18 darjah, setiap darjah dikira empat minit.

“Justeru, dua darjah menjadikan lapan minit. Pada dasarnya, keputusan ini dipersetujui dalam Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-116 pada 20 hingga 21 November 2019 lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah memutuskan waktu solat subuh di seluruh Selangor dilewatkan selama lapan minit selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama penyelidik Universiti Malaya (UM) melakukan kajian kecerahan langit waktu subuh.

Dalam pada itu, beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah juga telah
memperkenankan langkah tersebut.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan membahaskan secara khusus berhubung hukum solat subuh yang telah dilakukan sebelum ini berdasarkan kepada taqwim sedia ada, dalam masa yang terdekat.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here