Yaya bangkit daripada kemurungan

0
252
Haziqah Nurul Huda Harun menunjukkan produk baharunya iaitu cenderamata berupa produk kuih bulan yang dijual syarikatnya.

Oleh SURAYA ALI

Berbekalkan semangat berjuang Melayu, seorang wanita orang kurang upaya (OKU) mampu membina empayar perniagaan dari kerusi roda yang menjadi teman hidupnya kini.

Dahulu Haziqah Nurul Huda Harun, 23, merupakan seorang gadis yang aktif bersukan dan mempunyai cita-cita tinggi.

Namun semuanya berubah apabila Haziqah atau lebih dikenali sebagai Yaya diserang demam panas ketika berusia 16 tahun pada 2012.

” Pada peringkat awal Yaya kehilangan pelbagai deria, termasuk penglihatan dan pendengaran. Yaya tak mampu bangun malah semua kebajikan dan keperluan Yaya diuruskan oleh keluarga,” kata wanita cekal itu kepada Malakat Tribune.

Mengakui ia bukan sesuatu yang mudah, Yaya berkata, keluarganya merupakan tunjang utama semangatnya untuk bangkit dari kemurungan.

“Sedikit demi sedikit kekuatan dalam diri membolehkan saya mengejutkan ramai pihak termasuk pakar perubatan dan keluarga sendiri,” katanya.

Memandangkan dirinya tidak mampu bergerak seperti dahulu, Yaya banyak menghabiskan masa di rumah melayari Internet dan bermain permainan dalam talian.

Pada 2015, kakaknya mengidamkan kuih bulan yang sinonim dengan masyarakat Cina.

” Kuih Bulan tu bukan sahaja sukar nak dapat kerana bermusim, kebanyakkan dijual di kampung saya pada ketika itu tidak memiliki sijil halal,” katanya yang kemudian nekad mempelajari resepi pembuatan kuih bulan dari rakan sepermainannya dari China.

Akibat teruja mendapat kuih diidamkan, kakaknya telah berkongsi gambar kuih buatan Yaya ke dalam laman sosial dan kepada rakan-rakan lain.

” Pada awalnya ramai yang menyatakan mengidam kuih itu, saya mula mengambil tempahan kecil-kecilan dan beroperasi dari rumah,” katanya.

Siapa sangka setelah empat tahun beroperasi, Victory Moon Cake by Yaya kini boleh berbangga dengan kejayaannya.

Atas sambutan begitu hebat, kini Yaya memindahkan operasi kilangnya ke premis baharu lebih besar bagi menampung tempahan yang semakin meningkat.

Syarikatnya mengeluarkan lebih 30 jenis kuih bulan dan turut menerima tempahan kuih bakul.

Semua produk syarikat Victory Yaya telah mendapat pensijilan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan telah dieksport ke luar negara seperti Abu Dhabi, Qatar, Kuwait, Australia, Korea Selatan, Thailand dan Singapura.

Orang ramai atau mereka yang ingin membuat tempahan boleh Menghubungi VICTORYYAYA HQ di Jalan Sulaimani, Bandar Chukai, Kemaman Terengganu atau di talian 019-5930577 – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here