1,000 kiosk jual produk BMF

0
724

CYBERJAYA – Sebanyak 1,000 kiosk yang memasarkan produk Muslim bertemakan kempen Buy Muslim First (BMF) bakal dibuka di masjid terpilih seluruh negara tidak lama lagi.

Presiden Majlis Pemikir Melayu Muda Kebangsaan (MPMMK), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, setakat ini, proses penyediaan prasarana kiosk BMF itu berjalan lancar dan pihaknya hanya menunggu lampu hijau daripada pihak kerajaan bagi menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan sebelum dilaksanakan.

Selain itu, katanya, MPMMK juga akan melihat potensi dan kemudahan di masjid-masjid terbabit terlebih dahulu sebelum menawarkan sewaan pada kadar berpatutan kepada peniaga yang berminat bagi memudahkan urusan jual beli kelak.

“Produk yang akan diniagakan adalah barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan tepung termasuk lain-lain produk kesihatan, kecantikan serta eksesori lelaki serta wanita.

“Projek berkenaan memfokuskan kepada peniaga yang tidak diberi ruang oleh pasaraya-pasaraya besar untuk memasarkan produk mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Faiz berkata, pembukaan 1,000 kiosk BMF di masjid merupakan usaha MPMMK memberi peluang dan membela nasib usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam kalangan orang Islam bagi menempatkan barangan keluaran mereka selain diharapkan dapat membantu dalam menjihadkan ekonomi Islam.

Jelasnya, masjid perlu menjadi platform peningkatan ekonomi masyarakat setempat seterusnya membantu meningkatkan penguasaan orang Islam dalam bidang tersebut.

“Masjid adalah platform terbaik kerana setiap hari orang Islam solat berjemaah, setiap minggu ada perjumpaan besar iaitu solat Jumaat. Tidak lama lagi bulan Ramadan ramai orang Islam akan solat Tarawih dan selepas itu solat Hari Raya Aidilfitri.

“Selepas beribadat, orang Islam boleh mendapat bekalan harian daripada kiosk BMF yang disediakan. Begitu juga barangan seperti kurma untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan ini,” jelasnya.

Beliau berkata, sejak MPMMK mengemukan cadangan pembukaan kiosk BMF di masjid seluruh negara, projek itu mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada peniaga muslim.

“Peniaga yang berminat menyertai projek ini sudah tidak sabar untuk beroperasi, sekiranya fasa pertama ini berjaya kami rancang memperluaskan lagi ke masjid seluruh negara,” jelaanya.

Sebarang pertanyaan dan tempahan kiosk boleh hubungi pihaknya di talian 014-3371010. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here