10,000 unta dahaga akan ditembak

0
206


SYDNEY – Penembak tepat di Australia hari ini akan mula menembak sehingga 10,000 ekor unta selepas musim kemarau mendorong haiwan itu menghampiri bandar kecil untuk mencari air sekali gus membahayakan komuniti pribumi.

Menurut pegawai tempatan di Australia Selatan, sejumlah besar ternakan itu telah menceroboh kawasan masyarakat luar bandar dan mengancam makanan, minuman serta merosakkan infrastruktur selain membahayakan pemandu.

Menurut AFP, tembakan selama lima hari di Tanah Anangu Pitjantjatjara Yankunytjatjara (APY) yang merupakan rumah kepada kira-kira 2,300 penduduk pribumi di barat laut Australia Selatan adalah pertama kali dilakukan di negeri ini.

“Kumpulan unta itu mencetuskan tekanan ke atas komuniti orang asli di Tanah APY dan operasi pastoral kerana ia juga mencari air,” kata jawatankuasa eksekutif APY dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar Australia Selatan yang menyokong pemusnahan tersebut berkata, kemarau juga telah mewujudkan isu kebajikan haiwan kritikal kerana ada unta mati akibat dahaga atau dipijak antara satu sama lain ketika mencari air.

“Dalam sesetengah kes, haiwan mati mencemarkan sumber air penting dan tapak kebudayaan,” kata jurucakap jabatan itu.

Unta mula diperkenalkan di Australia pada 1840-an untuk membantu penerokaan kawasan pedalaman di benua terbabit.

Kini, Australia dianggap mempunyai populasi unta terbesar di dunia dengan anggaran rasmi menunjukkan lebih sejuta menduduki padang pasir di negara itu. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here