2020 masa perkasakan BMF

0
239

Tahun 2019 bakal melabuhkan tirainya. Ada suka dan duka dalam meniti tahun yang penuh warna warni ini.

Namun tahun ini juga mencatat sejarah apabila kempen Buy Muslim First (BMF) atau Utamakan Produk Muslim dilancarkan.

Kempen yang digerakkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa penglibatan parti politik baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang ternyata membawa impak positif dalam kalangan masyarakat terutama golongan Muslim.

Ini kerana golongan itu memiliki kuasa beli yang tinggi dalam perbelanjaan harian.

Kempen berkenaan bukan bermusuh dengan peniaga atau usahawan bukan Muslim. Tanggapan itu salah sama sekali. Ia tidak memusuhi sesiapa. Keutamaannya adalah membolehkan pengguna Islam memilih produk atau perkhidmatan yang diusahakan usahawan Muslim terlebih dahulu. Jika tiada baru beralih kepada produk bukan Muslim yang mempunyai sijil halal sah dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama.

Melihat kepada kumpulan-kumpulan media sosial ternyata ramai usahawan Muslim memiliki perniagaan tersendiri.

Mereka menggunakan segala medium bagi memperkenalkan produk serta perkhidmatan masing-masing kepada warga maya.

Impak BMF ini ternyata berkesan. Walaupun kurang mendapat publisiti meluas menerusi portal-portal berita arus perdana dan juga stesen televisyen, gerakan itu dilakukan oleh NGO dan individu menerusi media sosial terutama Facebook.

Tahun 2020 bakal membawa cabaran baharu. Sudah tentu kempen sedemikian diteruskan malah diperkasakan bagi meningkatkan jumlah usahawan Muslim menceburi perniagaan.

Tidak kira usahawan itu dari bandar dan luar bandar, teruskan sokongan tanpa berbelah bahagi. Ia secara tidak langsung akan membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan untuk mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan.

Usahawan yang berjaya jangan lupa tanggungjawab membantu rakan-rakan lain. Ia satu perjuangan dalam membina bangsa berjaya sama ada di dunia mahupun akhirat.

Namun, janganlah diambil kesempatan melakukan penipuan demi keuntungan sendiri. Sikap sedemikian tidak mencerminkan adab sebagai peniaga Muslim. Buangkan sifat iri hati, dendam dan cemburu sebaliknya tanamkan sikap mahu bersaing secara sihat untuk sama-sama maju dalam membangunkan ummah.

Kepada umat Islam teruskan istiqomah. Walaupun ditohmah atau dicaci oleh bangsa sendiri anggapnya sebagai kata-kata semangat untuk lebih berdaya maju dalam kempen BMF.

Jangan pandang belakang untuk berjaya. Rancang aturan perniagaan anda dengan bijaksana, Insya-Allah usaha dilakukan itu membuahkan hasil.

Selamat Tahun Baharu 2020.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here