Ambil tindakan tegas pihak cetus ketegangan

0
166

CYBERJAYA – Konflik agama dan kaum yang tercetus ketika ini dapat ditangani sekiranya kerajaan bertegas terhadap pihak mempersoalkan hak serta keistimewaan orang Melayu dan Islam.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, ini kerana keistimewaan itu jelas termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang negara.

“Kerajaan kena tegas dan oleh kerana tidak tegas inilah setiap orang bebas untuk mengatakan itu, ini hak mereka. Orang Cina kata hak mereka dan India pula dengan hak mereka.

“Sedangkan dalam Perlembagaan sudah termaktub (hak dan keistimewaan orang Melayu dan Islam). Contohnya isu jawi sudah jelas. Maknanya yang tidak boleh sentuh (tentang keistimewaan) adalah mereka (kaum bukan Melayu), bukan kita (orang Melayu).

“Kerajaan kena jelaskan benda ini (hak keistimewaan orang Melayu) tidak boleh diusik. Ini bukan perkauman tetapi kita ingin mempertahankan hak,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub yang menggesa kerajaan, parti politik dan rakyat Malaysia tidak memainkan isu perkauman dan agama kerana tindakan itu boleh menyemai kebencian yang akan menghancurkan negara.

Hussamuddin yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf berkata, tindakan drastik perlu diambil dalam menyelesaikan isu-isu kaum dan agama yang dilihat memuncak sejak 20 bulan lalu.

Mengulas lanjut Abdul Rahman berkata, kerajaan juga perlu memainkan peranan untuk memberi penjelasan tentang hak dan keistimewaan orang Melayu kepada bangsa lain supaya ia lebih difahami.

Katanya, ketegangan kaum dan agama yang memuncak ketika ini perlu ditangani segera bagi mengelakkan wujud perkara yang tidak diingini.

“Selagi ini berlaku (melanggar Perlembagaan dan undang-undang negara) selagi itulah timbul perpecahan dan mungkin peristiwa 13 Mei akan berulang lebih dahsyat lagi,” katanya.

Sementara itu, pandangan sama turut dikongsi Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Mohamad Shukri berkata, budaya membenci antara kaum dan agama perlu dihentikan segera bagi mengelakkan ia menjadi lebih parah sekali gus boleh menghancurkan negara.

Katanya, ketegasan pihak kerajaan untuk membendung konflik agama dan perkauman merupakan asas terpenting dalam menangani isu tersebut.

Sumber berita daripada Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here