[ANALISIS] Jaga-jaga dengan ‘mata merah’

0
221

Mata merah sering dikaitkan dengan penyakit yang dihidapi seseorang sama ada alergik pada makanan atau habuk.

Namun ia boleh diubati dengan mendapat rawatan doktor atau mengambil ubat maka hilanglah penyakit itu.

Bagaimanapun ‘mata merah’ yang mahu disampaikan adalah sikap segelintir masyarakat cemburu atau iri hati dengan kejayaan orang lain.

Ia bukan perkara baharu tetapi berlaku dalam kehidupan seharian.

‘Mata merah’ tidak mengenal mangsa sama ada mereka yang berjaya dalam perniagaan, pelajaran atau kehidupan harian.

Sifat ini bukan sahaja kepada bukan bumiputera sahaja tetapi ‘penyakit’ itu amat bermasalah kepada Muslim yang sukar diubati sehingga kini.

Jika diperhatikan keadaan sekeliling atau dalam media sosial, seseorang yang berjaya dalam perniagaan perlu melalui satu tahap kesukaran membuatkan mereka tabah.

Manakan tidak, ketika sedang meniti puncak kejayaan ada sahaja pihak atau individu iri hati mahu menjatuhkan perniagaan seseorang kerana tidak mahu melihat ia berjaya.

Malah ada segelintirnya menggunakan ilmu hitam demi melihat rakan niaganya gagal.

Penulis mempunyai kisah tentang masalah ini. Kejadian berlaku kira-kira 18 tahun lalu apabila adik penulis mahu menikmati laksa di sebuah gerai di utara tanah air.

Malangnya gerai tersebut habis jualan membuatkan adik penulis pergi ke kedai bersebelahan untuk membelinya.

Beberapa hari kemudian kesihatan adik penulis terjejas. Apabila dirawat oleh
doktor tiada puncanya dan akhirnya dibawa ke perubatan Islam yang memaklumkan terkena santau!.

Itu baru santau belum lagi pelbagai cara lain untuk menjatuhkan perniagaan seseorang.

Jika melihat kepada satu kaum ini, mereka bekerjasama dan membantu meningkatkan jualan mereka. Kesatuan mereka kuat. Mereka mahu maju bersama tanpa ada seorang pun yang ketinggalan.

Namun sebaliknya umat kita saling berbalah dan iri hati melihat kejayaan orang lain sehingga ada yang bosan mahu meneruskan perniagaan.

Ada pelbagai pertubuhan dan persatuan untuk membantu usahawan Muslim. Tetapi adakah bantuan disalurkan itu ala kadar atau prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Permudahkan urusan mereka yang mahu memulakan perniagaan. Bimbing mereka supaya ‘lorong’ perniagaan itu berjaya. Bagi yang berjaya, jangan berhenti tetapi terus membantu peniaga lain.

Tidak rugi jika berkongsi ilmu malah bertambah saham akhirat kerana membantu umatNya untuk berjaya.

Dengan keadaan ekonomi semasa sudah tiba masanya umat Islam bersatu. Melalui kempen Buy Muslim First (BMF) adalah landasan terbaik mengembalikan kegemilangan ekonomi umat Islam di negara ini.

Jangan berhenti dan terus menyokong. Ini kerana sokongan anda dapat membantu menambah pelbagai produk atau perkhidmatan usahawan Muslim dalam pasaran kita.

Tanamkan impian. Bulatkan tekad. Jangan hanya untuk pasarkan di negara ini sahaja. Jadikan produk dan perkhidmatan anda terkenal di seantero dunia. Baru masyarakat dunia tahu produk umat Islam tidak akan hilang di dunia. – #malakattribune

Usahawan Muslim perlu membantu usahawan Muslim lain dalam bersama meningkatkan jualan mereka sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat Islam keseluruhannya. – Gambar oleh Farid Janudin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here