Atlet gusti lengan Malaysia raih emas

0
190

Aksi Joffey Jolly (kanan) ketika menewaskan Yurii Dushko untuk meraih emas dalam acara senior 70 kilogram (kg) pada Kejohanan Gusti Lengan Dunia IFA 2019 di Rumia, Poland pada 6 Disember lalu.

CYBERJAYA 13 Dis.- Atlet gusti lengan negara, Joffey Jolly menamatkan penantian pingat emas buat Malaysia pada Kejohanan Gusti Lengan Dunia IFA 2019 di Rumia, Poland dengan memenangi acara senior 70 kilogram (kg) tangan kanan pada 6 Disember lalu.

Joffey, 26, anak kelahiran Sabah itu muncul juara selepas menewaskan peserta Ukraine, Yurii Dushko dan kejayaan itu adalah detik bersejarah kerana merupakan pingat emas yang pertama dimenangi oleh atlet Malaysia di kejohanan gusti lengan dunia.

Memetik laporan Sinar Harian, Joffey yang turut memenangi gangsa dalam kategori tangan kiri pada pertandingan itu mengakui dia tidak menyangka akan memenangi emas pada kejohanan sulung peringkat dunia itu.

“Saya tidak pernah menjangka akan memenangi emas pada tahun ini. Ia sepatutnya hanya pengalaman pembuka mata buat saya menentang atlet terbaik dari seluruh dunia dalam kejohanan ini.

“Bagaimanapun, saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya dalam sukan ini terutamanya bapa saya.

“Saya akan cuba mempertahankan gelaran saya pada tahun depan untuk menaikkan nama negara ini sekali lagi,” katanya.

Selain Joffey, atlet lain yang turut bersaing dalam kejohanan dunia itu juga membawa pulang tiga lagi pingat perak dan satu gangsa.

Safuan Mohd Asif dari Putrajaya memenangi perak dalam kategori tangan kanan Lelaki Senior 57kg dan satu gangsa dalam kategori tangan kiri, sementara atlet dari Sarawak, Abigail Kee Zing Ning menyampaikan dua perak dalam kategori Perempuan Junior Bawah-15.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Gusti Lengan Sabah (Sawa), Jolly Johnson yang juga merupakan ayah Joffey berkata, beliau berbangga dan gembira dengan pencapaian yang diperolehi anaknya walaupun sebelum ini pihaknya tidak menyasarkan sasaran untuk memenangi pingat emas.

“Saya sangat bangga dengan dengan kejayaan di Poland. Terima kasih diucapkan kepada pengurus pasukan dan Presiden Persatuan Gusti Lengan Malaysia, Mohd Zil Fadli atas usahanya untuk memastikan pasukan dapat bersaing pada kejohanan itu.

“Kejayaan ini membuktikan latihan lima hari seminggu yang kami jalani selama dua bulan tidak sia-sia dan tahniah juga kepada Safuan Asif dan Abigail Kee kerana memenangi perak dan gangsa untuk pasukan,” katanya.-#malakattribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here