Awaris perkukuh jenama institusi amanah

0
193

CYBERJAYA – Dalam usaha memperkukuh ‘jenama’ institusi amanah yang memfokus kepada aspek pengurusan harta pusaka, wasiat serta hibah, Amanah Warisan Berhad (Awaris) meluaskan rangkaian kerjasama strategik melibatkan beberapa pihak berkepentingan.

Kerjasama itu dimeterai antara Awars dan pihak terlibat dalam satu majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Awaris, Datuk Ahmad Saruji Abdul Aziz berkata, antara matlamat utama kerjasama berkenaan adalah untuk menyelesaikan harta-harta yang tidak ditadbir dengan baik dan terbiar.

“Kalau kita tidak buat sinergi ini maka masalah pusaka itu akan bertimbun, tidak tersusun, tidak dirancang dan tidak ditangani risikonya dari awal.

“Akhirnya (jika masalah sedemikian berterusan), pewaris yang akan sengsara dan kita sememangnya tidak mahu mendengar lagi ada harta-harta yang tidak ditadbir dengan baik,” katanya sejurus selepas majlis tersebut.

Perjanjian kerjasama strategik itu ditandatangani oleh Pengarah IPC Group, Anjaniman Abu Kassim diikuti Wan Najib Wan Daud (Pengarah, Swan Consultancy Sdn. Bhd.); Anwar Sidek Yaruddin (peguam); Nor Azmi Omar dari Smart Planner Biz Services; Azlina Othman (pakar perancangan harta pusaka Islam) dan Mohd. Bazli Amin (Pengurus Besar, Big Trip Sdn. Bhd.).

Ahmad Saruji memberitahu, melalui Awaris, elemen mewajibkan pelanggannya supaya membuat wasiat atau hibah digiatkan supaya apa yang diusahakan oleh pelanggan tersebut ketika ini akan berterusan dan ditadbir secara harmoni untuk keamanan keluarga.

Ditanya mengenai harta yang terbiar setakat ini, beliau berkata, mengikut penilaian terbaharu, jumlahnya dianggarkan sebanyak RM60 bilion.

“Kebanyakannya aset tetap. Tetapi kalau buat penilaian secara komprehensif, mungkin nilainya mencecah RM100 bilion. Contoh paling mudah adalah di Kampung Baru yang sudah menjangkaui generasi ketiga,” tambahnya.

Mengenai Awaris pula, beliau menjelaskan, institusi amanah itu adalah milik profesional Muslim, patuh syariah dan menggunakan teknologi digital sepenuhnya.

“Bermakna, pelanggan boleh akses untuk meminda wasiat atau hibah secara dalam talian dan sistem ini adalah selamat, sama seperti sistem perbankan.

“Selain itu, kita menawarkan wasiat mampu milik serendah RM500 dan akses digital percuma. Dalam pasaran institusi amanah, semuanya ada 45 buah dan Awaris merupakan salah satu daripadanya,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here