Bayaran fasa pertama BSH 20 Januari ini

0
71

CYBERJAYA 6 Jan. – Pembayaran fasa pertama Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 akan dilaksanakan mulai 20 Januari kepada penerima yang berdaftar (kategori isi rumah) di dalam pangkalan data BSH 2019.

Memetik portal Ismaweb.Net, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kira-kira 3.8 juta penerima akan menerima manfaat daripada peruntukan sebanyak RM1 bilion.

“Pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing menggunakan maklumat akaun bank semasa BSH 2019.

“Penerima BSH di kawasan pedalaman (kategori isi rumah) yang mempunyai akaun bank akan turut menerima pembayaran ini pada tarikh yang sama, manakala bagi penerima pedalaman yang tiada akaun pula akan dibuat mulai 1 Februari secara tunai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memastikan program BSH 2020 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan dan pengemaskinian akan dibuka mulai 1 Februari 2020 hingga 15 Mac 2020.

Selain daripada kategori isi rumah, Guan Eng berkata, permohonan untuk BSH 2020 juga dibuka bagi kategori bujang berumur 40 tahun dan ke atas seperti yang diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2020.

“Pemohon tidak perlu membuat permohonan baharu/kemaskini sekiranya permohonan BSH 2019 lulus dan tiada sebarang perubahan maklumat; dan Pemohon Orang Kurang Upaya (OKU) yang tersenarai sebagai penerima e-Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagaimanapun, pemohon perlu membuat permohonan baharu/kemas kini sekiranya belum membuat pendaftaran Permohonan BSH (Kategori Baharu).

“Atau permohonan BSH 2019 yang tidak lulus dan menepati syarat kelayakan BSH 2020; dan permohonan OKU yang tidak tersenarai sebagai e-Bantuan JKM dan menepati syarat kelayakan BSH 2020,” katanya.

Guan Eng berkata, setelah pangkalan data BSH 2020 dikemaskini, baki pembayaran BSH 2020 bagi kategori isi rumah akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga manakala bagi kategori bujang dan OKU pula akan disalurkan secara one-off pada fasa kedua.

“Dengan adanya proses permohonan dan pengemaskinian ini, sebahagian daripada kalangan yang tidak lulus dan belum menerima BSH masih diberi ruang untuk mengemukakan permohonan untuk dibuat verifikasi semula,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta emel kepada [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here