Bekalan tambahan vaksin influenza dibawa masuk bulan ini

0
52



CYBERJAYA – Sebanyak 99,470 dos bekalan tambahan vaksin influenza akan dibawa masuk pada bulan ini untuk memenuhi peningkatan permintaan yang mendadak sejak akhir tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 40,000 dos vaksin telah diagihkan ke hospital dan klinik swasta pada 7 Januari lalu menyebabkan baki stok pembekal habis buat masa ini.

“Ketika ini, ada enam produk vaksin influenza berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di Malaysia.

“Jumlah keseluruhan kuantiti dibawa masuk untuk pasaran Malaysia sepanjang tahun lalu bagi keenam-enam produk vaksin itu ialah 638,388 dos dan hanya 10 peratus daripadanya adalah bekalan ke kemudahan kesihatan Kementerian Kesihatan.

“Vaksin influenza hanya ditawarkan di kemudahan kementerian sebagai sebahagian daripada regimen rawatan golongan pesakit berisiko tinggi mendapat komplikasi jangkitan, termasuk kematian apabila dijangkiti virus influenza, dan pemberiannya adalah berdasarkan penilaian klinikal daripada pakar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Noor Hisham, vaksin berkenaan juga diberikan kepada anggota barisan hadapan kementerian yang terdedah kepada jangkitan ketika mengendalikan pesakit dan orang awam yang ingin mendapatkan suntikan vaksin influenza boleh mendapatkannya di kemudahan kesihatan swasta.

Mengulas permintaan terhadap Oseltamivir atau antiviral bagi merawat influenza pula, Noor Hisham berkata, pihaknya tiada masalah untuk menampung bekalan ubat itu di kemudahan kementerian walaupun wujud peningkatan empat kali ganda pada Disember tahun lalu kerana syarikat konsesi diarahkan menyimpan stok yang mencukupi.

Bagaimanapun, kementerian memberi kelulusan khas mendapatkan stok daripada pembekal alternatif bagi menampung peningkatan keperluan secara mendadak di kemudahan kesihatan swasta berikutan lima syarikat berdaftar tidak dapat memenuhi permintaan sedia ada.

“Kementerian memberi kelulusan khas Ketua Pengarah Kesihatan untuk mendapatkan bekalan daripada pembekal alternatif. Setakat ini, kementerian meluluskan hampir 1.1 juta kapsul atau tablet bagi tempoh Disember tahun lalu hingga bulan ini.

“Ia juga bagi memenuhi permintaan kemudahan kesihatan swasta dan kuantiti ini dianggarkan dapat merawat 110,000 pesakit. Kementerian sentiasa komited dalam memastikan bekalan ubat sentiasa mencukupi untuk keperluan rakyat Malaysia,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here