Beri peluang konglomerat Melayu kuasai PLUS

0
283

SUDAH pasti salah satu isu hangat diperkatakan minggu ini ialah berhubung pengambil alihan PLUS. Menteri Kewangan Lim Guan Eng sudah mengesahkan Kabinet akan membincangkan dan memutuskan perkara itu esok.

 Isu PLUS menarik perhatian ramai kerana ia bukan sahaja melibatkan satu aset strategik yang dikuasai oleh kerajaan melalui Khazanah tetapi juga penanda aras sejauh manakah arahan Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak harus terlibat dalam perniagaan akan dilaksanakan atau tidak.

 Kalau mengikut sumber, sememangnya Perdana Menteri mahu pihak swasta khususnya konglomerat Melayu mengambil alih PLUS, apatah lagi dalam kalangan empat pembida swasta yang mengemukakan cadangan mereka, ada antara mereka disahkan oleh institusi kewangan tempatan layak mengambil alih syarikat konsesi itu.

Penulis tidak berhasrat menyatakan pembida manakah yang dimaksudkan oleh institut kewangan tempatan itu tetapi apa yang penting ia adalah milik orang Melayu. Pengambil alihan PLUS oleh orang Melayu juga akan selari dengan hasrat Perdana Menteri yang mahu memperkasakan ekonomi masyarakat tersebut.

Bagaimanapun difahamkan ada pihak tidak senang dan resah gelisah, jika PLUS diambil alih oleh konglomerat Melayu, justeru terwujudlah cadangan agar tiada lagi jaminan kerajaan jika PLUS diambil alih oleh pihak swasta.

Jika syarat baru ini dikenakan ketika pembida-pembida sudah bersetuju untuk memberikan diskaun bagi tempoh yang ditetapkan dan tiada kenaikan bagi tempoh tertentu boleh dianggap perbuatan untuk menghalang konglomerat Melayu menguasai PLUS.

Perlu diingat tanpa jaminan kerajaan, kadar faedah pinjaman akan jauh lebih tinggi berbanding jika ada jaminan kerajaan. Kadar tersebut boleh mencecah antara enam peratus hingga tujuh peratus berbanding hanya tiga peratus jika ada jaminan kerajaan.

Pihak yang membangkitkan perkara ini atau secara tersembunyi mengemukakan pandangan ini kepada Kabinet sehingga mengelirukan banyak pihak, mungkin boleh dianggap tidak mahu melihat konglomerat Melayu menguasai PLUS.

Apa motifnya kita tidak pasti, tetapi jika benar tindakan itu dilakukan jelaslah ia mempunyai agenda tersembunyi sama ada untuk terus mempertahankan PLUS di bawah Khazanah yang jelas-jelas bertentangan dengan hasrat Perdana Menteri atau `ada mainan’ untuk menyerahkan PLUS kepada syarikat luar atau bukan Melayu.

Hujah ini dibangkitkan bukanlah bertujuan mengaitkan isu PLUS dengan soal perkauman tetapi itulah persepsi yang akan berlaku jika ada konglomerat Melayu yang layak menguruskan syarikat konsesi tersebut dinafikan hak mereka dengan pelbagai hujah mengelirukan.

Adakah tidak wajar sama sekali, jika hak konglomerat itu  dinafikan dan cuba dihalangi dengan pelbagai syarat  supaya mereka `lemah semangat’ sedangkan berdasarkan cadangan mereka sudah disahkan atau diiktiraf paling terbaik untuk mengambil alih PLUS.

Oleh itu adalah diharapkan Kabinet akan membuat keputusan berkaitan pengambil alihan PLUS tersebut berdasarkan fakta dan bukannya dipengaruhi oleh sebarang sentimen termasuklah seolah-olah konglomerat Melayu tidak mempunyai kemampuan untuk menguruskan lebuh raya sedangkan situasi sebenar sudah membuktikan sebaliknya.
 

HANG NADIM
Petaling Jaya

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Malakat Tribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here