Brainy Bunch rancang anjur program khidmat masyarakat untuk lepasan SPM

0
266

BERANANG – Peneraju institusi pendidikan, Brainy Bunch akan menganjurkan satu program khidmat masyarakat khusus untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam masa terdekat ini sebagai persediaan awal sebelum mereka melangkah ke pusat pengajian tinggi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim, program tersebut yang dikenali sebagai Youth ADAB Reset dirancang diadakan selama 30 hari bertempat di Kem Eco Mellenium di sini.

Berikutan itu, katanya, satu pengumuman rasmi termasuk maklumat lanjut mengenai program itu akan dibuat pada minggu depan.

Mohd. Fadzil Hashim bersama sebahagian 167 pelajar Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch yang terlibat dalam program Youth ADAB Reset di Kem Eco Mellenium, Beranang.

“Menerusi program ini kita akan reset masa, adab dan fardu ain mereka semula sebelum mereka masuk ke alam kolej dan universiti yang mana ketika itu mereka tidak lagi mendapat bimbingan atau panduan daripada ibu bapa masing-masing.

“Disebabkan faktor ini kita merasakan ada vakum dalam masyarakat yang memerlukan program adab reset ini dibuat khusus untuk pelajar lepasan SPM,” katanya.

Terdahulu beliau menghadiri majlis penutup program Youth ADAB Reset untuk 167 pelajar Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch.

Dalam pada itu, mengulas mengenai program untuk pelajar Brainy Bunch, katanya, sepanjang tujuh hari program tersebut berlangsung setiap pelajar telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang dapat memberikan pengalaman baharu selain dapat memberi manfaat kepada lapisan masyarakat.

Mohd. Fadzil memberikan kata-kata motivasi kepada 167 pelajar yang menyertai program Youth ADAB Reset.

Sementara itu, menurut pelajar lelaki terbaik keseluruhan untuk program tersebut, Mikhail Arif Mohd. Lokman, 12, dia berasa sangat bertuah kerana dapat terlibat dalam program khidmat masyarakat seperti ini kerana ia dapat memberikan motivasi dan pengalaman baharu kepada semua peserta.

“Sepanjang tujuh hari di sini kami pelajari pelbagai perkara baharu malah jurulatih dan tenaga pengajar di sini juga banyak memberikan motivasi untuk membina keyakinan diri kami.

“Contohnya, sesiapa yang takut kepada ketinggian mereka akan dilatih untuk mengatasi ketakutan itu dengan mencuba aktiviti flying fox,” katanya.

Mikhail Arif dinobatkan sebagai pelajar lelaki terbaik keseluruhan

Ditanya bagaimana perasaannya yang terpaksa tinggal berjauhan selama seminggu daripada ibu bapa, Mikhail Arif berkata, meskipun merindui mereka tetapi perasaan itu bukan penghalang untuk dirinya menghabiskan program itu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here