
RAUDHAH CITY 1 Jan.- Segala gerakan dalam kebangkitan ekonomi Islam yang ‘meletup’ pada 2019 harus diperkasakan dengan tindakan berstruktur dan bersistem.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim berkata, hasil cetusan kempen Buy Muslim First (BMF), begitu banyak ‘Facebook group ekonomi’ wujud.
Bagaimanapun katanya, Facebook menghadkan capaian pengikut untuk setiap ‘posting’ sekali gus melemahkan kekuatan kebangkitan yang telah dimulakan.
“Kami sedang berusaha membangunkan aplikasi yang dinamakan ADAB untuk menawarkan pilihan media sosial yang berteraskan nilai agama Islam yang kita cintai.
“ADAB akan menjadi platform untuk semua yang akan menjaga ADAB dalam perhubungan.
“Oleh kerana ia akan mengambil masa, kami lancarkan ADAB versi web 1.0 dahulu untuk kita satukan kekuatan ummah kita di satu platform,” katanya dalam status akaun Facebook miliknya hari ini.
Menurut Mohd. Fadzil, semua pengguna yang berdaftar akan diberikan hak 10 peratus dividen ADAB apabila ia lancarkan nanti.
“Ayuh bantu sebarkan berita ini dan pastikan semua rakan-rakan mendaftar dan mula bersama di ADAB.
“Tahun 2020 tahun kebangkitan ekonomi Islam, tahun 2020 tahun kita kembalikan ADAB, ayuh sertai ADAB,” katanya.-#MT