Coronavirus: 3 kes baharu dicatatkan

0
105

CYBERJAYA – Tiga kes baharu dicatatkan menjadikan tujuh kes positif novel coronavirus (2019-nCoV) berlaku di Malaysia setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata,  tiga kes baharu itu melibatkan seorang kanak-kanak berumur empat  tahun yang kini dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dan seorang lelaki berusia 52 tahun  dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Tambahnya, seorang lagi pula menantu perempuan kepada kes coronavirus pertama di Singapura iaitu lelaki yang berumur 66 tahun kini juga telah disahkan positif.

“Kesemua kes tersebut dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan pada malam 28 Januari lalu.

Tiga kes yang sebelum ini dilaporkan dalam kalangan kes Patient Under Investigation (PUI) jangkitan coronavirus dan empat kes yang sebelum ini dalam kalangan kontak rapat. Kesemua kes positif 2019-nCoV ini adalah terdiri daripada warganegara China,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau,  menantu yang disahkan positif itu terdahulu mengambil keputusan untuk tinggal di Malaysia bagi menjaga kedua-dua anaknya yang sedang menerima rawatan di wad isolasi Hospital Sungai Buloh setelah mereka dikesan positif.

“Justeru, dari 10 Januari sehingga 28 Januari 2020, jumlah kumulatif kes PUI bagi jangkitan 2019-nCoV adalah 78 orang; di mana 39 adalah warganegara Malaysia, 36 warga China dan masing-masing satu  warganegara Jordan, Brazil dan Thailand.

“Tiga kes telah disahkan positif 2019-nCoV, 74 adalah negatif 2019-nCoV dan satu  kes masih menunggu keputusan makmal,” ujarnya.  – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here