Coronavirus: 65 kes diletak di bawah siasatan, satu kes positif

0
114

CYBERJAYA – kementerian Kesihatan mengesahkan sejak 10 Januari lalu sehingga hari ini, jumlah kumulatif kes pesakit di bawah siasatan (PUI) jangkitan 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) adalah sebanyak 65 kes.

Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu 34 adalah rakyat Malaysia, 30 warganegara China dan satu warganegara Jordan.

Bagaimanapun, katanya, daripada jumlah itu, hanya terdapat satu kes yang positif 2019-nCoV seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

“Sementara itu, sebanyak 61 kes PUI adalah negatif manakala tiga lagi kes PUI warganegara China masih menunggu keputusan makmal.

“Tiga orang kontak rapat dengan kes positif 2019-nCoV pertama di Singapura yang disahkan positif jangkitan 2019-nCoV masih dirawat di wad isolasi dan dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, kesemua 17 kontak rapat kepada kes positif 2019-nCoV keempat telah disahkan negatif dan telah dilepaskan daripada menjalani Perintah Pemantauan dan Pengasingan.

Dalam pada itu, katanya, sejak 4 Januari lalu pihaknya telah meningkatkan saringan ke atas semua pengembara dari China di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) negara sebagai langkah menghadapi 2019-nCoV.

Katanya, saringan itu dilakukan di semua 64 PMA melibatkan lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan-pelabuhan serta pintu masuk darat di negara ini.

“Saringan demam akan dibuat dengan menggunakan thermal scanner. Pada ketika ini terdapat 54 thermal scanner di beberapa PMA utama negara. Mana-mana pengembara dikesan demam akan diperiksa oleh paramedik untuk mengesahkan demam.

“Sejarah perjalanan ke China dalam tempoh dua minggu sebelum tiba di Malaysia akan diperolehi. Sekiranya pengembara yang memenuhi kriteria PUI akan dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut. Rujukan ke hospital akan menggunakan kenderaan ambulan khas dengan diiringi oleh oleh anggota terlatih yang memakai peralatan perlindungan diri bagi mengelakkan jangkitan, ujarnya.

Sementara itu, katanya, bagi pengembara yang tidak memenuhi kriteria PUI akan diletakkan di bawah pengawasan rumah untuk tempoh 14 hari manakala mereka yang didapati batuk tetapi tiada demam akan diberikan penutup hidung dan mulut untuk mengelakkan penularan penyakit itu kepada umum.

Kakitangan di pintu masuk utama negara memeriksa pelancong luar negara yang melancong ke Malaysia

Jelasnya, pengembara yang tidak mempunyai sebarang gejala, akan diberikan kad pengawasan kesihatan (HAC) dan dinasihatkan untuk rawatan segera sekiranya mempunyai demam, batuk atau susah bernafas dalam masa 14 hari dari tarikh ketibaan dan membawa bersama HAC semasa berjumpa dengan pegawai perubatan untuk mendapatkan rawatan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here