Coronavirus: Ekonomi negara dijangka terjejas

0
174

CYBERJAYA – Penularan wabak conovirus di China dijangka bukan sahaja memberi kesan kepada negara ekononi besar dunia itu tetapi juga Malaysia secara tidak langsung.

Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali

Menurut Profesor Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali, antara sektor yang bakal menerima kesan ialah eksport negara ke China meliputi eksport produk dan perkhidmatan.

Beliau berkata, ini kerana China merupakan pasaran eksport utama negara iaitu mencecah 80 peratus.

“Sekarang pertumbuhan ekonomi China ialah 5.9 peratus, ini agak perlahan kerana sebelum ini pertumbuhan mereka sekitar tujuh dan lapan peratus. Pertumbuhan yang perlahan ini disebabkan perang dagangan antara China dan Amerika Syarikat.

“Apabila berlaku wabak coronavirus menjadi persoalan sama ada China dapat mengekalkan pertumbuhan ekonomi mereka, kalau semakin menurun ini bermaksud eksport negara juga akan terjejas,” katanya kepada Malakat Tribune.

Penularan wabak coronavirus menyebabkan pelancong yang datang dari China perlu menjalani pemeriksaan yang ketat sebelum masuk ke Malaysia.

Mengulas lanjut, katanya, sektor perkhidmatan iaitu meliputi pelancongan dan pendidikan dari pelancong China antara penyumbang paling besar kepada negara.

Katanya, sektor pelancongan sahaja menyumbang 14.8 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan kira-kira 3.2 juta rakyat Malaysia terlibat dalam sektor berkenaan.

“Lebih penting tahun ini merupakan Tahun Melawat Malaysia dan kita menyasarkan sebanyak 30 juta pelancong datang ke Malaysia, daripada jumlah itu sasaran pelancong China ialah 2.4 juta orang.

“Sekiranya pelancong China tidak datang ia akan memberi kesan kepada aktiviti pelancongan negara termasuk industri perhotelan dan usahawan yang terlibat dalam rantaian pembekalan untuk industri ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya kerajaan mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah tersebut sekiranya wabak coronavirus berterusan.

“Bank Dunia sebelum ini menganggarkan pertumbuhan ekonomi negara sekitar 4.5 peratus tetapi Menteri Kewangan meletakkan sasaran 4.8 peratus, jadi persoalan yang timbul sekiranya wabak ini berterusan adakah ia akan memberi kesan kepada eksport barangan negara dan sektor pelancongan serta pendidikan.

“Jadi, Malaysia harus mengambil pendekatan awal supaya kita dapat menarik kehadiran pelancong dari negara lain dan pada masa sama, kerajaan perlu memberikan suntikan tertentu kepada perbelanjaan sektor domestik.

“Apa pun, yang penting kita kena selamatkan diri daripada dijangkiti wabak ini, tetapi dalam masa sama hal ekonomi juga perlu diberi perhatian demi kelangsungan ekonomi negara,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here