Coronavirus: Masjid Putra ditutup kepada pelancong asing

0
170

PUTRAJAYA – Masjid Putra, di sini, ditutup untuk lawatan pelancong asing bermula pukul 2 petang tadi susulan kebimbangan terhadap wabak 2019 Novel Coronavirus.

Masjid Putra di Putrajaya yang menjadi tumpuan pelancong terutama dari China kini hanya dibuka untuk solat kepada umat Islam.

Jurucakap pengurusan Masjid Putra berkata, penutupan itu berkuat kuasa sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak dan buat masa ini masjid tersebut hanya dibuka kepada umat Islam untuk menunaikan solat.

“Pelawat bukan Islam masih boleh mengambil gambar, tetapi sehingga hadapan pintu gerbang masjid sahaja (sebelum pos kawalan masjid),” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama mendapati ribuan pelawat membanjiri persekitaran Masjid Putra serta Dataran Putra untuk beriadah dan mengambil gambar sempena cuti umum Tahun Baru Cina.

Di pos kawalan masjid, kelihatan beberapa orang petugas sibuk memberi penerangan kepada pelawat bukan Islam mengenai larangan tersebut dan mereka dilihat mematuhi arahan yang diberikan.

Setakat ini, empat kes Coronavirus disahkan di negara ini yang kesemuanya pelancong dari China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here