Coronavirus: RRT, RAT diaktifkan serta merta

0
205

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan mengaktifkan serta merta Rapid Response Team (RRT) dan Rapid Assessment Team (RAT) bagi menjalankan aktiviti pengesanan kontak di lapangan berikutan tiga kes positif
Coronavirus di negara ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefley Ahmad berkata, semua anggota kesihatan adalah diingatkan untuk memberikan perhatian serius terhadap pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang betul serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi yang optimum pada setiap masa.

“Saringan pesakit di semua fasiliti kesihatan perlu dilaksanakan dengan teliti, bagi memastikan kes yang memenuhi akan dirujuk bagi menjalani penyiasatan selanjutnya,” katanya seperti dipetik portal Malaysia Gazette hari ini.

Tambah Dr. Dzulkefley, ketiga-tiga pesakit terlibat kini dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan selanjutnya dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil manakala lain-lain kontak yang dikesan adalah negatif bagi koronavirus.

Mereka dilaporkan telah menaiki pesawat dari Guangzhou ke Singapura pada 20 Januari lalu dan kes tersebut bersama anak lelakinya didapati dimasukkan ke hospital di Singapura pada 22 Januari lalu.

Kedua-dua mereka telah disahkan positif oleh Kementerian Kesihatan Singapura (KKS).

“Seramai sembilan orang telah menaiki pesawat bersama kes pertama yang berumur 66 tahun itu iaitu isteri, anak lelaki, menantu perempuan, dua orang cucu dan satu lagi keluarga berempat (terdiri dari sepasang suami isteri dan dua anak mereka) yang merupakan kawan baik keluarga kes,” ujarnya.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah menerima pemakluman mengenai keputusan ujian positif yang diperoleh untuk kes pertama dari KKS yang turut memperincikan maklumat mengenai kontak rapat beliau yang berada di Malaysia.

Melalui perkongsian maklumat tersebut Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor bertindak segera dengan mengesan kesemua lapan orang kontak terbabit dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka.

Saringan awal mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan.

Sampel klinikal seterusnya telah diambil dalam kalangan kontak tersebut untuk menjalani ujian pengesanan dan selanjutnya pengesahan dari Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh.

Kesemua kontak tersebut seterusnya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan oleh JKN Johor sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka.

Menurutnya, kejadian wabak jangkitan itu dipandang serius dan suatu tatacara mengenainya yang melibatkan fasiliti kesihatan awam serta swasta telah dikeluarkan baru-baru ini.

Tatacara itu akan digunakan sebagai rujukan kepada semua anggota kesihatan di lapangan bagi mengesan, mengendali dan menguruskan individu yang disyaki dijangkiti virus yang dikenali 2019-nCoV.

Selain dari tiga kes positif, secara keseluruhannya pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima pelaporan untuk sembilan kes yang disyaki dijangkiti 2019-nCoV dan kesemuanya disahkan negatif melalui ujian makmal yang dijalankan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here