Coronavirus: Saringan di pintu masuk diperkukuh

0
84

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuhkan aktiviti saringan kesihatan di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) negara sebagai langkah siap siaga dalam menangani jangkitan kluster Novel 2019 Coronavirus.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, antara usaha yang diambil termasuk menempatkan pengimbas haba di ‘entry points’ bagi mengesan kehadiran mereka yang mempunyai gejala demam.

Jelasnya, bagi daerah Johor Bahru, terdapat enam PMA dengan dua daripadanya masing-masing di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) yang merupakan pintu masuk darat dari Singapura.

“Purata pelancong China yang masuk melalui KSAB adalah 3,000-3,500 orang sehari sepanjang 2019.

“Semasa lawatan ke KSAB pada petang Isnin, saya telah melihat sendiri langkah-langkah kesiapsiagaan agensi-agensi terlibat bagi mengesan pengembara yang bergejala.

“Sekiranya terdapat pelancong yang disyaki, beliau akan diperiksa selanjutnya di Bilik Saringan Kesihatan dan dirujuk kepada Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk pemeriksaan selanjutnya,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Selain itu, Dr. Noor Hisham berkata, satu laluan khas imigresen bagi mana-mana pengembara yang berasal dari China juga telah diwujudkan.

Agensi Berita China, Xinhua semalam melaporkan pihak berkuasa kesihatan China mengumumkan 80 kematian dan 2,744 kes penyakit radang paru-paru yang disahkan akibat coronavirus, dengan 461 kritikal.

Setakat pagi ini, empat kes coronavirus dikesan di negara ini. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here