Coronavirus: Yang di-Pertuan Agong titah masjid seluruh negara adakan solat hajat

0
159

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri´ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan kesemua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah SWT supaya memelihara rakyat daripada sebarang penyakit yang tidak diingini.

Memetik agensi berita Bernama, menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, ia berikutan peningkatan penularan wabak 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV) di China dan negara-negara lain termasuk Malaysia.

Beliau berkata, Seri Paduka sentiasa mengikuti perkembangan terkini berkenaan wabak itu serta amat prihatin dan bimbang dengan keselamatan diri rakyat Malaysia yang berada di dalam serta luar negara susulan jangkitan coronavirus.

“Seri Paduka menyeru kepada rakyat untuk memperbanyakkan doa agar Malaysia dan dunia dilindungi daripada wabak berkenaan serta memudahkan pihak-pihak berkuasa tempatan dan di kawasan-kawasan terjejas menangani gejala wabak ini.

“Semoga situasi kehidupan insan dapat dipulihkan seperti sedia kala,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengulangi nasihatnya kepada rakyat supaya sentiasa mendapatkan perkembangan dan maklumat terkini mengenai wabak coronavirus hanya daripada saluran-saluran rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi kerajaan serta media arus perdana.

Seri Paduka juga sekali lagi menyeru kepada rakyat untuk sentiasa mengikuti nasihat dan saranan langkah pencegahan dan amalan kesihatan seperti yang digariskan KKM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here