Dari penebar roti canai ke chef terkenal dunia

0
3608
Chef Mohd. Azizan Shukri bersama koleksi anugerahnya

CYBERJAYA – Bermula dengan menebar roti canai siapa sangka pemilik nama Mohd. Azizan Shukri kini bergelar chef terkenal yang pernah melonjakkan nama dalam bidang kulinari dunia.

Pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kulinari itu telah membuka peluang untuk beliau bekerja di pelbagai restoran ‘fine dining’ dan hotel bertaraf lima bintang terkemuka di dalam dan luar negara.

Chef Mohd. Azizan yang merupakan anak kelahiran Kedah itu mengakui pada awalnya menceburi bidang masakan bukanlah kerana minat semata-mata tetapi lebih kepada ingin merasai pengalaman.

Ianya terbukti apabila Chef Mohd. Azizan pernah berkecimpung dalam pelbagai pekerjaan lain termasuk tukang buat rumah, tukang kebun dan sebagainya sebelum menjadi penebar roti canai.

Katanya, rezeki tiba semasa beliau bekerja di sebuah restoran dengan gaji RM40 sebulan, ketika itu seorang chef memintanya untuk membekalkan roti canai kepada sebuah hotel di Melaka.

“Tidak sampai sebulan bekerja sebagai penebar roti, saya ditawarkan bekerja di hotel tersebut dan ditugaskan menjadi tukang cuci pinggan dan kemudiannya beralih ke bahagian dapur.

“Dengan pengalaman selama dua tahun bekerja di hotel itu, saya kemudiannya berhenti dan berhijrah ke Johor Bharu, Johor dan bekerja di Hotel Puteri Pan Pacific pada tahun 1991.

“Untuk yang belum mengetahui, saya sebenarnya seorang yang suka mencuba sesatu yang baharu dan pengalaman itu jugalah menunjukkan kebolehan diri saya yang sebenar” katanya.

Menurut Chef Mohd. Azizan, selepas menimba pengalaman bekerja di pelbagai hotel, beliau mula mengembangkan lagi kerjayanya dan menempa nama di Hotel Istana Restoran Fine Dining yang pertama di Malaysia.

Pakar masakan sajian Eropah moden terutaman Itali dan Perancis itu berkata, bekerja di pelbagai restoran dan hotel memberi peluang memperluaskan pengalamannya sehingga berhijrah ke The Grand Hotel Malahide, Dublin, Ireland sebagai Sous Chef.

“Ketika bekerja diluar negara, saya mendapat pelbagai anugerah seperti The Best Chef Ambassador 2016, Chef & Maitre Nel Mondo,Italy serta Guild of Chefs, Republik Bulgaria dan tempat Pertama di 2nd Inter-Chef Competition 1994 selain Award Excellence Penang Asia 1995,” katanya.

Mengulas mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang berada dalam bidang kulinari, Chef Mohd. Azizan berkata, beliau teruja apabila diberikan peluang menyediakan sajian untuk bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dan kumpulan band boy Westlife yang terkenal.

“Saya juga pernah bertugas di Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan untuk kontijen Jerman melalui tajaan Adidas dan terbaharu menjadi tukang masak untuk Rugby World Cup pada tahun lalu,” katanya.

Bercerita mengenai kriteria chef yang berjaya, beliau berpendapat seseorang chef perlu mempunyai empat ciri-ciri iaitu ikhlas, minat, rajin dan taat dalam setiap tugasan yang diberikan.

“Chef keluaran dahulu sangat kental semasa zaman saya kental, Mereka boleh bekerja 10 hingga 20 jam dengan ikhlas. Hari ini chef kurang sikit kebanyakan dia (chef)rapuh,” kongsinya.

Mengulas mengenai kerjayanya ketika ini, Chef Mohd. Azizan berkata, rezeki melimpah ruah apabila ditawarkan menjadi Ketua Chef di Restoran Casa De Madani di Malakat Mall yang merupakan ‘halal fine dining’ pertama di Malaysia.

Katanya lagi, selepas mengambil keputusan untuk menjadi tukang masak secara ‘freelance’, beliau menaruh harapan untuk bekerja di sebuah restoran berkonsepkan halal.

“Alhamdullilah, Casa De Madani adalah halal fine dining, jadi saya antara insan yang akan menyediakan kepelbagaian sajian halal kepada pelanggan bermula makan tengahari sehingga makan malam.

“Harapan saya supaya selain menjadi tumpuan premis makan dan minuman Casa De Madani bakal dijadikan sebuah institusi yang mengeluarkan chef Melayu yang terbaik dunia dan akhirat,” katanya.

Restoran Casa De Madani di Malakat Mall akan dibuka kepada umum pada Mac nanti.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here