Diskaun tol PLUS, Jambatan Pulau Pinang bermula tengah malam ini

0
240

CYBERJAYA – Berkuatkuasa pukul 12 tengah malam ini, kadar tol PLUS akan dikurangkan sebanyak 18 peratus selaras dengan pengumuman oleh Pejabat Perdana Menteri pada 17 Januari lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, diskaun tersebut diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi di Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Butterworth–Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang.

Diskaun tol 18 peratus akan bermula tengah malam ini

“Kadar tol untuk kenderaan komersial akan terus kekal pada kadar tol semasa tanpa peningkatan sehingga tamat tempoh konsesi.

“Ini berikutan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri untuk menstrukturkan semula konsesi PLUS untuk memberikan penjimatan sebanyak RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi baharu sehingga 2058,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, untuk tahun ini, kerajaan dan pengguna juga akan mendapat jumlah penjimatan sehingga RM1.1 bilion secara langsung.

Jelasnya, ini adalah termasuk penjimatan sebanyak RM0.5 bilion daripada diskaun 18 peratus dan juga penjimatan RM0.6 bilion daripada bayaran pampasan kerajaan untuk membekukan kenaikan kadar tol.

“Penjimatan ini akan dapat disalurkan untuk
program-program kebajikan dan pembangunan ekonomi yang akan memanfaatkan rakyat secara keseluruhan.

“Seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2020, kadar tol untuk kereta persendirian di Jambatan Kedua Pulau Pinang juga akan disamakan dengan kadar tol baharu Jambatan Pertama Pulau Pinang selepas diskaun 18 peratus bermula 1 Februari ini,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here