‘Edah’ musim tengkujuh belum berakhir – Dr. Azman

0
329
Dr. Azman Ibrahim

CYBERJAYA – Orang ramai yang akan pulang bercuti khususnya di Terengganu sempena sambutan Tahun Baharu Cina minggu hadapan diminta sentiasa berwaspada dengan pantai kerana musim tengkujuh di bahagian pantai timur Semenanjung masih belum berakhir.

Nasihat berguna itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr. Azman Ibrahim yang menasihatkan segala aktiviti di tepi pantai ditangguhkan terlebih dahulu.

“Adik kakak yang balik cuti di Terengganu terutama cuti Tahun Baru Cina nanti. Edah musim tengkujuh di pantai timur belum habis lagi. Walau laut nampak tenang, ombak besar boleh datang tanpa dijangka dengan tiba-tiba. Walau sekadar berada di gigi air, kuasa tarikannya boleh mengheret mangsa ke dalam laut.

“Sabar sekejap kalau ada niat nak buat program kem motivasi tepi pantai, perkelahan keluarga, mandi laut atau yang sewaktu dengannya. Mohon dijauhkan Allah tawa suka ria bertukar menjadi tangisan duka,” katanya dalam satu status dalam laman Facebook miliknya.

Pada masa sama, Dr. Azman juga menasihatkan supaya mengelak daripada berkelah di kawasan air terjun kerana bimbang berlakunya fenomena kepala air.

Laut bergelora ketika musim tengkujuh di pantai timur

“Fenomena ini adalah tinggi bila hujan lebat tiba-tiba turun. Kuasa air tak mengenal sesiapa.

“Biasanya bulan Mac barulah edah musim tengkujuh berakhir. Aktiviti laut dan air terjun boleh diteruskan macam biasa. Memang malang tak berbau tapi jangan kita sengaja cari malang,” nasihatnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here