Empat pemain badminton dunia cedera

0
173
Gambar Ehsan JBPM

CYBERJAYA – Seorang lelaki warga tempatan maut manakala empat pemain badminton termasuk pemain nombor satu dunia, Kento Momota cedera dalam kemalangan di kilometer 13.7 Lebuhraya MEX, dekat sini awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.57 pagi

“Sebanyak 10 anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Serdang bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hafisham berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai N. Bavan.

“Manakala mangsa yang cedera pula, pemain badminton England, William Thomas, pemain badminton Jepun, Hirayama Yu, Morimoto Arkifuki dan Kento Momota,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu melibatkan van pelancong yang dinaiki mangsa melanggar belakang sebuah lori tanah.

“Terdapat lima mangsa dalam van itu, dua lelaki dan seorang wanita warga Jepun, seorang lelaki warga England dan pemandu warga tempatan,” katanya.

Menurutnya, empat pemain badminton tersebut cedera ringan telah dibawa ke Hospital Putrajaya dengan ambulan Kementerian Kesihatan.

“Mangsa yang maut tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan oleh anggota bertugas sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Difahamkan ketika kejadian van berkenaan dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here