Enam pendaki jayakan Ekspedisi Wawasan Everest 2020

0
220

CYBERJAYA – Kelab Eksplorasi Altitud akan menganjurkan ekspedisi Wawasan Everest 2020 yang akan bermula pada 1 April hingga 5 Jun 2020 depan.

Presiden Kelab Eksplorasi Altittud, Azim Afif Ishak berkata, matlamat utama ekspedisi berkenaan ialah untuk menawan puncak tertinggi dunia itu

Katanya, ekspedisi itu juga bertujuan untuk mempromosi dan membina bangsa Malaysia bersatu hati seperti yang terkandung dalam Wawasan 2020.

“Ekspedisi kali ini dibarisi enam pendaki yang terdiri daripada berbilang kaum dan pelbagai latar belakangtermasuk orang kelainan upaya (OKU).

“Ia bagi menonjolkan semangat perpaduan dan kebersamaan masyarakat Malaysia dalam mencapai matlamat yang satu.

“Hanya dengan penyatuan dan perpaduan dapat merealisasikan wawasan gemilang sebagai bangsa Malaysia yang berkeyakinan, demokratik, makmur, bertolak ansur, saintifik, progresif, penyayang, bermoral dan beretika,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dengan kejayaan misi itu nanti katanya, diharap kumpulan pendaki terlibat dapat diangkat sebagai ikon perpaduan sekali gus memupuk semangat bersatu padu dan bersatu hati dalam kalangan rakyat Malaysia.

Azim Afif yang juga pendaki Everest negara berkata, peserta ekspedisi telah melakukan persiapan dengan mendaki Kem Induk Everest (EBC) dan Island Peak di Nepal pada awal Disember lalu.

Beliau berkata, peserta turut menjalankan latihan insentif bagi meningkatkan tahap kecergasan masing-masing sebagai persediaan untuk mendaki Everest yang berketinggian 8,848 meter dari aras laut.

“Buat masa ini, kumpulan ini menggunakan perbelanjaaan sendiri dalam menjalani latihan sama ada di dalam atau luar negara.

“Kami berharap selepas ini kerajaan sedia membantu merealisasikan misi ini di samping tajaan daripada pihak individu mahu pun swasta.

“Selain mempromosikan semangat perpaduan, saya yakin ekspedisi ini dapat mengangkat lagi nama Malaysia sebagai sebuah negara yang cemerlang dan gemilang terutama dalam bidang sukan ekstrem,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here