Gerhana Matahari bukti kekuasaan Allah

0
415

CYBERJAYA 26 Dis.- Peristiwa gerhana matahari merupakan suatu iktibar kepada umat manusia bahawa kita adalah makhluk kecil dan lemah di sisi Allah SWT.

Allah SWT memperlihatkan sedikit bukti kekuasan-Nya kepada manusia melalui peristiwa gerhana matahari yang merupakan salah satu fenomena.

Imam Masjid Putra, Shamsul Bahari Dahalan berkata, Allah SWT telah mencipta langit dan bumi ini dengan penuh keindahan dan kehebatan.

“Pada hari ini, sekali lagi Allah SWT telah memperlihatkan kehebatan dan kekuasan-Nya yang mutlak, di mana berlakunya gerhana matahari.

“Peristiwa ini menarik perhatian jutaan manusia untuk melihat fenomena alam yang hebat dan ajaib bukti kekuasaan Allah SWT yang tiada tolok bandingnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan khutbah bertajuk ‘Menggali Rahsia Keagungan Allah’ selepas mengimamkan Solat Sunat Gerhana Matahari di sini hari ini.

Shamsul berkata, kejadian gerhana matahari berlaku akibat dari kedudukan sejajar antara matahari, bulan dan bumi, manakala gerhana bulan berlaku apabila kedudukan sejajar antara matahari, bumi dan bulan.

“Kedudukan ini menghalang cahaya matahari daripada sampai ke bumi kerana itu ia dinamakan gerhana. Kita sedia maklum bulan dan bumi sifatnya adalah menerima cahaya daripada matahari.

“Apa yang jelas, penciptaan matahari, bulan, cakerawala dan apa jua di alam ini bertujuan membolehkan seluruh manusia mengambil manfaat serta faedah daripadanya seperti menjana sistem solar, menjana elektrik dan menghasilkan kuasa elektrik.

“Ya, sesuatu kejadian yang dipertontonkan kepada kita ada hikmah tersendiri dan Allah SWT mahu manusia sentiasa berfikir, merenung dan bertadabbur bagaimana sepatutnya matahari dan bulan mengelilingi bumi setiap hari secara berasingan boleh bertemu pada ketetapan yang diinginkan Allah yang dinamakan gerhana matahari atau gerhana bulan itu,” katanya.

Beliau berkata, kejadian gerhana matahari tiada kaitan dengan malang atau celaka sesuatu perkara kerana ia merupakan keadaan yang berlaku sejak dahulu kala lagi termasuklah juga pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW yang mana kebetulan ketika itu wafat putera baginda yang bernama Ibrahim.

“Maka ramai yang menyangka bahawa gerhana itu membawa maksud kesedihan hati Rasulullah SAW. Oleh kerana itu, Rasulullah SAW bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud.

: “Rasulullah SAW bersabda bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda-tanda kekuasaan Allah. Allah menakutkan hamba-hamba-Nya dengan perubahan matahari dan bulan dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan mati seseorang dari kalangan manusia, maka pabila kamu melihat berlakunya suasana (gerhana matahari dan bulan), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan kelihatan semula bagi kamu.”

“Sebenarnya kejadian gerhana juga adalah satu peringatan kepada manusia bahawa jika Allah berkehendak menghentikan peredaran matahari, bulan, bintang, bumi dan lainnya sudah pastilah seluruh kehidupan ini akan musnah,”katanya.

Dalam pada itu katanya, dengan kejadian gerhana matahari ini, Allah SWT telah menunjukkan sebahagian daripada kekuasaannya agar manusia segera insaf, gerun dan takut kepada ancaman Allah SWT.

“Oleh itu, mimbar menyeru sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama mengambil pengajaran dengan peristiwa gerhana matahari ini dengan rasa penuh keinsafan dan bermuhasabahlah atas segala yang telah dilakukan.

“Di samping itu, perbanyakkanlah amal yang dapat menghampirkan diri kita kepada Allah SWT dengan taubat, amalan kebajikan, amal soleh, berzikir, bertakbir, bersedekah dan berdoa.

“Tanamkan juga di dalam hati dan jiwa kita kesungguhan untuk menghayati hikmah disebalik setiap peristiwa, kejadian dan fenomena alam dalam apa bentuk sekalipun,” katanya.-#malakattribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here