Harapan bina satu aliran pendidikan nasional

0
196

Kenyataan akhbar Jabatan Perdana Menteri pada 10 Januari lalu telah mengumumkan bahawa jemaah menteri pada 8 Januari telah bersetuju agar jawatan Menteri Pendidikan yang dilepaskan oleh Dr. Maszlee Malik dipangku sementara oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia(i-Guru) menyambut baik keputusan ini dan berharap usaha mereformasi dan memperkasa agenda pendidikan negara seharusnya menjadi keutamaan Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

Ini kerana sistem pendidikan kita sedia ada jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju dan ia menuntut perubahan yang drastik bagi mendepani era digital dan cabaran IR 4.0.

Mengambil kira sikap Tun Dr. Mahathir untuk melihat negara Malaysia setanding negara-negara maju melalui penguasaan dalam bidang sains dan teknolagi, iGuru berharap Tun Dr. Mahathir mempertahankan dasar-dasar pendidikan negara sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan terutama berkait isu pengiktirafan UEC, pengekalan tulisan jawi dan memartabatkan Bahasa Melayu.

iGuru percaya usaha reformasi ini mesti mendahulukan kepentingan pendidikan mengatasi kepentingan politik.

iGuru tidak menolak usaha-usaha mengukuhkan penguasaan Sains dan Matematik sebagai langkah membina negara maju namun jangan sampai kedudukan bahasa Melayu tergadai dan soal-soal mengarus perdanakan pendidikan Islam di dalam sistem pendidikan dipinggirkan dan sekolah-sekolah agama dipandang sepi.

iGuru berharap Tun Dr. Mahathir mempertimbangkan cadangan mewujudkan sekolah satu aliran bagi membina sebuah bangsa yang bersatu padu selaras dengan semangat Penyata Razak 1956 demi mengukuhkan perpaduan kaum yang terheret dengan isu-isu perkauman. 

Mewujudkan sekolah satu aliran nasional menjadi penting ketika negara menebal dengan sentimen perkauman dan fahaman rasisme. 

Sewajarnya sistem pendidikan kita berasaskan satu kurikulum yang menyatukan semua kaum dengan satu bahasa pengantar bermula sejak peringkat sekolah rendah lagi.

iGuru yakin keazaman dan keupayaan Tun akan menjadikan sistem pendidikan negara setanding dan seiring dengan kemajuan globalisasi industri dunia tanpa menghakis jatidiri bangsa bagi memenuhi keperluan negara pada masa akan datang.

iGuru akan terus menyokong usaha-usaha ke arah memartabatkan sistem pendidikan negara dan berharap pihak Kementerian Pendidikan bersikap inklusif untuk menjayakan hasrat tersebut.

Mohd. Azizee Hasan

Presiden iGuru

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Malakat Tribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here