Hari terakhir Maszlee dan Myvi hitam

0
122

CYBERJAYA 2 Jan.- Dr. Maszlee Malik hari ini mengumumkan peletakan jawatannya selaku Menteri Pendidikan berkuatkuasa esok.

Pengumuman berkenaan agak mengejutkan ramai pihak kerana hari ini merupakan detik bermulanya sesi persekolahan bagi tahun baharu 2020.

Maszlee berkata, beliau kesal kerana dirinya lebih banyak dikaitkan dengan isu-isu sensasi berbanding dengan pencapaiaan yang telah dilakar.

“Saya dilihat telah menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama melibatkan isu-isu seperti jawi, internet sekolah dan isu sarapan percuma.

“Sejak 2018 kementerian bersikap telus dengan segala inisiatif dan progres reformasi pendidikan, selain menjadi yang pertama bentangkan laporan 100 hari Pakatan Harapan.

“Tahun 2019 kemudiannya membuktikan beberapa inisiatif yang telah diperkenalkan akhirnya membuahkan hasil,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Maszlee, beliau telah meletakkan asas dan hala tuju yang jelas untuk dituruti warga kementerian dan ia terhimpun dan tersemat kemas dalam tiga kalimah keramat, ‘Pendidikan Untuk Semua’.

“Di atas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka dengan hati yang reda walaupun berat, saya meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan Malaysia, berkuatkuasa 3 Januari 2020.

“Saya ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada Dr. Mahathir kerana telah memberi peluang selama 20 bulan untuk saya mengemudi kementerian. Ia adalah hadiah terbaik kepada saya sebagai pendidik dan aktivis akademia.

“Saya percaya keputusan ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan yang baharu. Percayalah, reformasi negara tidak akan pernah berjaya tanpa menjadikan kebajikan rakyat sebagai tumpuan paling utama,” katanya.

Dalam pada itu, Maszlee turut menyatakan pendirian, sokongan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Dr. Mahathir dan parti Bersatu.

Selepas sidang akhbar itu, pegawai khas Maszlee hanya membenarkan pihak media bertanyakan cuma tiga soalan sahaja sekali gus mengundang perasaan tidak senang dalam kalangan media.

Selepas menjawab soalan media, Maszlee meninggalkan kementerian dengan memandu sendiri kereta perodua Myvi berwarna hitam.-#malakattribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here