Hubungan kaum, agama semakin parah

0
573

               

CYBERJAYA 10 Jan.- Penerbit akhbar Sinar Harian, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub mengingatkan kerajaan bahawa jika isu-isu perkauman dan agama tidak ditangani dengan berkesan, ia boleh menghancurkan Malaysia.

Hussamuddin dalam kenyataannya menyifatkan suasana hubungan kaum dan agama di negara ini semakin parah terutama sejak 20 bulan lalu.

Beliau yang juga Pengarah Urusan kumpulan Karangkraf menggesa sesuatu yang drastik dilakukan oleh kerajaan termasuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menteri-menteri Kabinet bagi menangani masalah tersebut.

Jika perlu, kata beliau, mana-mana akhbar dan portal yang mengapi-apikan isu-isu perkauman perlu ditutup.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau. 

Saya terpanggil untuk mengadakan sidang media ini kerana saya melihat kepada petanda yang tidak sihat sedang berlaku di negara kita. Bila isu tanglung diprotes dan tujuh orang menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail) terpaksa turun ke sekolah untuk mempertahankan tanglung, saya melihat ada sesuatu yang tidak kena. Semasa saya kecil, kita bermain tanglung. Kita beli tanglung dan sambut bersama-sama dengan orang Cina. 

Sebenarnya saya melihat tindakan tujuh menteri turun ke sekolah untuk menyelamatkan tanglung sebenarnya tidak produktif. Ia hanya menyebabkan orang Islam yang tidak benci tanglung sekarang semakin benci dengan tanglung. Mereka boleh bezakan apabila isu jawi diasak oleh Dong Zong  dan pemimpin bukan Melayu, pemimpin-pemimpin Melayu senyap. Ini menyebabkan orang Melayu marah. 

Saya bukan seorang yang chauvinis. Sejarah membuktikan saya dibesarkan dalam kawasan orang-orang Cina. Kawan-kawan saya semua orang Cina, orang bukan Melayu. Saya bersekolah dengan orang bukan Melayu. Jadi saya seorang yang sudah hidup dalam zaman harmoni. Tetapi bila saya lihat keadaan, saya rasa pengurusan yang salah oleh kerajaan sekarang. Ia dibawa-oleh pengurusan yang tidak bagus sebelum ini tetapi tidak ditangani dengan baik oleh pengurusan sekarang. 

Keratan depan akhbar Sinar Harian hari ini.

Saya bukan orang politik, bukan seorang pemimpin. Saya hanya seorang penjual surat khabar dan penjual buku. Kenapa saya terpanggil untuk bercakap isu ini? Sebab dalam aplikasi WhatsApp sudah ada orang mula pungut nama orang hendak berjihad. Ini sangat bahaya. Dengan apa yang berlaku di Iran dan Iraq, semangat orang Islam sedang membara. Saya rasa semua ini perlu dihentikan. 

Pemimpin kena lakukan sesuatu untuk hentikan semua ini. Jangan biarkan. Kita sudah biarkan isu jawi, isu Dr Zakir Naik untuk beberapa bulan. Yang menentang adalah pemimpin dalam kerajaan sendiri. Sedangkan isu jawi kerajaan yang cadangkan. Jadi apa semua ini? Seruan saya kepada semua pemimpin, tolong lakukan tindakan yang tepat dan bukannya tindakan bersifat popular semata-mata.

Saya tahu saya mengambil risiko yang tinggi. Saya orang kecil tetapi saya sayangkan negara saya. Saya tidak mahu negara saya terbakar kerana orang Melayu sekarang ini sedang meluat dan marah. Bagi saya isu ini remeh. Isu ini kecil. Bagaimana dengan toleransi yang kita bina bertahun-tahun? 

Tetapi sekarang bila tiga muka surat untuk memperkenalkan jawi dan jawi yang hendak diperkenalkan adalah yang ada dalam logo polis, wang. Sebenarnya itu cara untuk mengenali negara kita sedangkan wang negara China pun ada jawi dan ditentang oleh Dong Zong dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) daripada bukan Islam. 

Jadi apa yang anda hendak lakukan? Inilah menyebabkan orang semakin tidak yakin kepada PH. Kita mengharap, kita pilih PH untuk mengharapkan perubahan daripada tidak baik kepada lebih baik tetapi sekarang kesan paling tidak baik. Dahulu walaupun tidak begitu harmoni tetapi tidak seteruk sekarang. 

Saya keluar untuk memberi seruan kepada pemimpin, kepada rakyat dan media, jangan apikan ini lagi. Jangan sampai terbakar. Betul anda semua terutamanya portal-portal, kalau netizen itu memanglah kerana mereka emosi.

Kehidupan mereka susah, ekonomi tidak baik, mereka emosi tetapi portal-portal yang besar mengapi-apikan. Sebagai contoh, saya lihat kes soalan Dr Zakir Naik di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). 

Satu isu kecil. Satu universiti yang kecil. Soalan dalam subjek etnik dan di peringkat universiti, kita seharusnya terbuka kepada fikiran-fikiran sebegitu tetapi Lim Kit Siang pun komen. 

Jadi saya rasa kalau orang macam Lim Kit Siang pun ambil isu kecil yang remeh ini, berapa orang ambil peperiksaan itu tetapi kerana ada hantu yang berkongsi dan diambil oleh portal dan dikomen oleh jaguh-jaguh yang hendak jadi wira kepada bangsa mereka, jaguh yang berfikiran kecil.

Kalau tokoh fikiran besar tidak akan buat tindakan seperti itu kerana isu ini remeh. Tetapi dengan sendirinya orang Cina marah. Orang India marah dengan UniMAP. Minta Naib Canselor UniMAP, Profesor Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berhenti. 

Orang Melayu tidak marah ke? Bila kamu semua bercakap, kamu tidak kaji kesannya kerana kamu mahu jadi wira orang Cina, India dan orang-orang Melayu pula membalas nak jadi juara. Jadi untuk sebarang tindakan akan ada kesannya. Jadi hentikan perkasa sia-sia ini.

Sepatutnya lagi tinggi kita sebagai pemimpin, lagi bijak. Pemimpin sepatutnya membawa penyelesaian. Isu jawi, isu Dr Zakir Naik, isu UniMAP. Semua itu masalah. Semuanya ada jalan penyelesaian. Jalan penyelesaiannya adalah bertimbang rasa.

Kalau kita biarkan selama 20 bulan di debat secara terbuka dan pemimpin-pemimpin yang berotak kecil komen dengan mulut yang lantang menyebabkan isu menjadi besar dan membakar semangat orang-orang Cina yang tidak faham isu jawi itu tiga muka surat, mereka ingat hendak tukar agama ke? 

Saya dibesarkan dalam 90 peratus masyarakat Cina. Saya tidak macam Cina. Hari-hari saya pergi rumah Cina. Kawan saya orang Cina, datang makan rumah saya. Ayah saya ustaz. Mereka tidak masuk Islam. Tetapi kenapa dulu harmoni ? Kerana kamu semua main politik perkauman dan sekarang negara sedang hampir terbakar.

Anda semua perlu hentikannya. Saya minta maaf. Saya bercakap dalam nada ini, walaupun saya orang kecil, saya sayang negara saya, saya sayang bangsa saya dan saya yakin majoriti rakyat bersetuju dengan saya. Cuma mereka tidak bercakap.

Contoh dalam isu jawi yang sebegitu ringan, apa yang kita perlu buat adalah menteri-menteri yang bukan Islam ini perjelaskan kepada Dong Zong. Ini sebenarnya. Berapa ramai orang bukan Islam masuk Islam. Lebih ramai orang bukan Islam masuk Kristian. Dan ada orang Melayu yang pindah agama. Tetapi kita besarkan.

Jadi sekarang saranan saya kena bertolak ansur. Hentikan sekarang. Hentikan perbincangan. Arahkan semua media termasuk Sinar Harian. Saya sanggup dan akur. Sinar Harian kenapa kadang-kadang kita terpaksa jawab sebab media-media lain gasak. Awak tengok sejarah saya 40 tahun. Saya buat Watan, Eksklusif. Kita sederhana. Betul kita kritikal tetapi kita bertanggungjawab. 

Sekarang keterbukaan media, kualiti wartawan sudah hancur. Dia menulis tidak kira. Tajuk-tajuk juga menghancurkan. Saya seru kawal mereka ini. 

Sinar Harian sepatutnya, kalau dari segi portal, kita paling tinggi dan saya buat seruan ini bukan saya takut Malaysiakini, The Malaysian Insight. Kami lagi tinggi kedudukannya daripada mereka. Lihatlah rekod media sosial kami.

Orang Melayu percaya kepada kita. Orang Melayu mengharapkan kita. Dan mesej saya kepada anda semua yang memenangkan PH, bukan orang Cina. Yang memenangkan orang PH adalah 10 hingga 15 peratus orang Melayu yang kecewa dengan pentadbiran lama, yang memberi sokongan kepada pentadbiran PH. 

Jadi kenapa pemimpin-pemimpin Melayu dalam PH sunyi senyap dalam isu jawi, Amanah ke PKR ke tidak bercakap.

Membiarkan Dr. Maszlee Malik sorang-sorang. Sedangkan di sebelah sana pemimpin kecil jangan kira, pemimpin negara pun menentang. Jadi kalau betul nak selamatkan negara, kita perlu lakukan sesuatu.

Semua orang terutama pemimpin dahulu kena berhenti bercakap isu ini dan berhenti mengapikan isu-isu ini. Maknanya kita kena rasional dan tawarkan penyelesaian.

Bagi saya senang, Dong Zong sudah berapa puluh tahun lamanya berkeras dalam isu ini dan sekarang tengok apa jadi, kesannya semakin buruk.

Tengok negara lain. Saya bukan chauvanis tetapi pergilah ke Thailand. Orang Cina ke, orang India ke, orang Pakistan ke, orang Pashtun pun. Semua cakap Siam, boleh faham Siam.

Sekarang kerana anda tidak terima bahasa Melayu, tidak mahu belajar Bahasa Melayu, (dalam soal ini) saya tidak bercakap sekolah satu aliran. Anda hendak belajar bahasa Melayu pun tidak mahu.

Selagi anda berkeras, orang Melayu akan berkeras dan isu ini akan diambil kesempatan oleh orang dipengaruhi emosi negatif yang ada kepentingan (tertentu). Jadi kita kena bersikap terbuka menerimanya.

Cadangan saya mudah sahaja. Pemimpin DAP dan PKR yang ada dalam PH kena faham betul-betul kandungan tiga muka (pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks sekolah rendah).

Mereka kena anjurkan jelajah bagi memberi penerangan dan menyakinkan orang ramai bahawa semua pihak boleh terima dengan hati terbuka.

Bila mereka boleh menerimanya, orang Melayu tidak akan mempersoalkan pasal isu tanglung kerana (tradisi itu) sudah berpuluh tahun kita terima.

Mengapa orang Melayu marah Dong Zong hanya disebabkan mereka tidak terima jawi. Tetapi saya akan sokong anda kalau kerajaan atau Dr Maszlee (mahu menetapkan) semua pengajian bahasa Melayu dalam Jawi. Saya akan menjadi antara orang menentangnya.

Akan tetapi, kerana tiga muka surat sahaja pun yang kandungannya bukan semua tulisan Jawi, ini payah kamu tidak boleh terima.

Kalau kamu mahu hidup harmoni beratus tahun lagi, kamu kerana terbuka terima pengenalan tulisan Jawi.

Jadi (sekiranya) anda terima ini, orang Melayu akan redha dan tidak akan mempersoalkan tradisi pakai tanglung atau tidak mempersoalkan sekolah Cina dan sebagainya.

(Mengenai) isu (penceramah terkemuka) Dr Zakir Naik, apa Zakir Naik boleh buat? Dia hanya mewakili satu orang sahaja. Mengapa anda sangat takut dan dengar nama dia sahaja sudah histeria macam ada hantu?

Jadi saranan saya kalau mahu keamanan, kedua-dua pihak (perlu bersikap terbuka) dan seruan saya kepada orang Melayu, kita kena berubah dan kita tidak lagi bersentimen.

Agama kita mengajar soal toleransi dan dalam Al-Quran ada cakap kita kena menghormati penganut agama lain dan tanggungjawab kita adalah untuk melindungi mereka. Tetapi saya boleh faham mengapa orang cina takut Islam, perangai orang Islam pun hodoh.

Di masjid pun boleh bergaduh. Majoriti jawatankuasa masjid duduk bergaduh sesama sendiri. Jadi kalau di masjid pun bergaduh, di tempat lain pun apatah lagi. Sekiranya menguruskan masjid pun anda tidak mampu, bagaimana? Pengurusan masjid perlu di bawah satu kariah. Jawatankuasa masjid perlu urus betul-betul. 

Sekiranya duit diterima digunakan untuk bantu orang miskin, (pastinya) tiada B40, tidak perlu kepada BR1M ke apa kerana sistem Islam cukup cantik. 

Akan tetapi kerana mereka yang mengurus tidak betul. Buat apa masjid cantik-cantik dibina tetapi orang tidak datang? Ini kerana jawatankuasa masjid sendiri pun bergaduh.

Kenyataan ini mungkin buat orang Melayu akan marah. Tetapi perkara ini adalah permasalahan asas dihadapi masyarakat kita. Kenapa orang Cina takut, kerana kita tidak betul.

Sekarang kita kena betulkan, sebab itu saya buat World Quran Hour, saya buat kempen mengaji Al-Quran, supaya orang Melayu faham agama mereka.

Bila anda faham agama anda sendiri, maka anda akan ada kerangka pemikiran Al-Quran, anda ada sistem operasi Al-Quran, dengan sendiri akhlak anda akan menjadi terpuji.

Kita sendiri sibuk kepada majlis-majlis besar, tetapi kita lebih mementingkan kepada bentuk majlis, bukan pada pengisiannya.

Jadi kepada orang dan pemimpin Melayu, cukup-cukuplah dengan aktiviti-aktiviti tidak mendatangkan hasil.

Sila mula membaiki taraf hidup orang Melayu. Tanya diri betul-betul berapa peratus orang Melayu yang memahami Islam, tanya ustaz-ustaz yang mengajar agama itu, 

Saya tahu akan diserang tetapi tidak mengapa, sekurang-kurangnya saya boleh menjawab di padang Mahsyar nanti, yang saya ada kuasa, saya ada kebolehan, saya ada media dan saya sudah sampaikan kepada orang-orang Islam. 

Sebenarnya kita mengalami kegagalan besar dalam menjadi seorang muslim sebenar. Sebab apa, kita tidak betul-betul mengamalkan Islam. Dahulu mengapa orang tertarik dengan Islam? Kerana akhlak pemimpinnya, bagaimana dia bercakap dan budi bahasanya. 

Tetapi kalau kita asyik sebar fitnah melalui aplikasi Whatsapp, Islam apa itu? Orang susah sekeliling masjid kita tidak tolong, kita sibuk main golf, anak kita biarkan.

Jadi itu yang sedang saya menyeru. Masalah kita hadapi ini bukan masalah dibawa pimpinan negara tetapi masalah rakyat sendiri.

Jadi orang Cina takut kerana orang Melayu perjalanan kehidupannya tidak betul. Kalau lepas keluar masjid, kita pergi khutbah berpuluh tahun, masih perangai sama, kita parkir tidak tentu hala, tidak guna. 

Islam adalah cara hidup dan mati. Sekarang orang macam Zaid Ibrahim, Siti Kassim melihat Islam sebagai agama yang hanya memikirkan soal kematian sahaja. Sedangkan Islam bukan begitu.

Kalau kita hayati Al-Quran, Islam mempromosi budaya berjaya dalam hidup. Kita tengok perjalanan sirah bagaimana sahabat nabi pada zaman 700 tahun hijrah terawal.

Bagaimana orang Islam berjaya kerana mereka benar-benar memahami Islam, mengamalkan ajaran Al-Quran dan berakhlak tinggi.

Zaman kita sekarang akhlak kita teruk dengan pemimpin rasuah, menipu, menggunakan kemudahan tetapi tidak jaga rakyat. Peruntukan dibelanjakan pemimpin untuk membiayai pesta-pesta termasuk jabatan menguruskan Islam. Kita kena perbetulkan kalau mahu selamatkan negara, ummah dan agama Islam.

Kita kena betulkan diri kita dahulu, kena pastikan akhlak anak kita betul, kita kena ajarkan mereka Al-Quran, fahamkan mereka Al-Quran, bentukkan peribadi mereka supaya mereka hendak menjadi orang hendak berjaya di dunia dan di akhirat. Supaya mereka mati boleh masuk syurga, dengan sendirinya cara hidupnya akan bagus dan akan baik.

Dengan itu orang bukan Islam akan rasa selamat, jadi pastinya tidak akan timbul isu Jawi dan sebagainya. Pemimpin kena betulkan (sikap orang Melayu) kerana mereka ada kuasa untuk buat keputusan. Kalau saya jadi orang berkuasa, isu Zakir Naik saya rasa kecil, cuma perlu yakinkan kepada orang bukan Islam bahawa isu Jawi, yakinkan dan pastikan Dong Zong terbuka menerimanya.

Sekiranya pertubuhan itu degil, kadang-kadang kita terpaksa korbankan. Kita terpaksa menyingkirkan sesuatu masalah bagi menyelesaikan masalah lebih besar.

Komunikasi itu penting. Dari segi komunikasi kita tidak buat dengan baik, bila orang tidak faham, orang bagi komen, bila pemimpin pun tidak faham, komen mereka akan membuat rakyat lebih keliru. Kita perlu berubah jika mahu selamatkan negara, perlu ada gencatan senjata.

Saya di Sinar Harian, berharap rakyat yang cintakan keamanan bersama-sama mulakan gerakan dari rakyat untuk membuat semua pemimpin tidak kira pertubuhan bukan kerajaan, persatuan dan sebagainya untuk ubah cara mereka bergerak, cari solusi. Ketika ini kerana terlalu banyak prejudis, kebencian, prasangka ia harus diredakan.

Saya mencadangkan kerajaan bagi arahan agar diskusi isu sensitif mesti dipadamkan, Sinar Harian akan akur, semua harus ikut, jika tidak saya akan bersuara dengan lantang.  

Bacalah Sinar Harian, lihatlah kandungan kadang-kadang tajuk kami sensasi namun tidak chauvinis. Bila kami melakukan kesilapan kami akan perbetulkan. 

Bermakna media harus bertanggungjawab, media tidak bertanggungjawab perlu ditutup. Kementerian Multimedia, Kementerian Dalam Negeri harus ambil tindakan tegas terhadap orang yang mengapikan-apikan semangat perkauman dan kebencian termasuk media, jika ikhlas mahu selamatkan negara.

Untuk pastikan anak cucu hidup aman damai perlu ada semangat dan keberanian untuk mengubah sesuatu yang telah lama silap. Perlu ada keberanian dan kemahuan politik.

Mana-mana organisasi ekstremis harus disenyapkan, majoriti rakyat akan menyokong kerana rakyat cintakan keamanan, pemimpin harus melakukan sesuatu kerana sekiranya negara porak peranda pemimpin turut akan kehilangan kuasa. Bertindak dan buat keputusan terutama isu yang menghantui kita selama bertahun-tahun.

Isu jawi, saya bukan cauvanis, tapi jika tiga mukasurat jadi penghalang kepada perpaduan, anda yang bantah ada niat yang jahat, jadi selesaikan isu ini.

Jangan timbul juga isu Dr Zakir Naik, jangan benar sesiapa contoh Ramasamy, kena memulakan program penyatuan jika sesuatu isu menjadi semakin hangat.

Biasanya saya tidak bercakap begini, saya harus lakukan sesuatu, sudah berbulan-bulan tiada orang peduli dan pemimpin buat benda jadi lebih teruk, 

Mohon Perdana Menteri agar membuat keputusan tepat, singkir pihak yang menyusahkan dan membuat satu keputusan yang mampu selamatkan negara selain polisi jelas untuk bina semula negara supaya negara kembali bersatu padu.

Seruan kepada orang islam, baiki diri sendiri, keluarga, masjid, komuniti masing-masing dan tunjuk akhlak sebenar seperti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW, Orang tertarik kepada Islam kerana ahklak, tapi saya lihat akhlak orang Islam sendiri di mana?

Ceramah kutuk parti dan tidak berfaedah patut diganti dengan pengisian yang boleh mencerminkan akhlak al-Quran. Islam menggambarkan kecermerlangan dan orang Islam yang cemerlang tidak akan beremosi dan akan bertindak secara rasional sekali gus tidak menakutkan orang bukan Islam. 

Jadi sarankan kepada Menteri agama, ustaz yang mengajar di sekolah atau kelas lepas maghrib itu. Lebih baik masukkan roh Al-Quran daripada mengutuk orang sana sini.

Maknanya bukan hanya orang Cina, India kena baiki, tapi orang Islam sendiri kena baiki diri. Pemimpin harus berani ambil tindakan untuk satukan ummah. 

Jadi kesimpulannya ketegangan ini harus diredakan melalui tindakan-tindakan dan keputusan afirmatif tetapi saranan saya pertama tegur semua media dan portal ini supaya ‘tone down’ jangan api-apikan lagi seperti apa yang sedang berlaku sekarang. 

Kebanyakan portal ini mengapi-apikan isu dan netizen. Maknanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mesti jalankan tugas, mana-mana laman web yang mengapi-apikan sentimen perkauman per ditutup termasuk Sinar Harian kalau Sinar Harian tutup saya redha demi menyelamatkan negara. 

Sudah 20 bulan perkara ini dibiarkan, jangan jadi populis, buat perkara yang betul dan majoriti akan beri sokongan, yang penting kena ada kredibiliti kena ada integriti. 

Kita kena ada reformasi, reformasi ini bukan setakat Najib dan rasuah saja. kejuruteraan Sosial dan kemakmuran bersama juga penting, kemakmuran tidak akan dapat kalau tiada harmoni, harmoni tidak akan dapat jika tiada kefahaman dan tidak ada tolak ansur sekarang saya tengok tidak ada tolak ansur, kalau 60 tahun masih duduk di Malaysia tetapi masih tiada tolak ansur. 

Saya tidak faham kena asimilasi, kekallah dengan kecinaan kamu, kekallah dengan keindiaan kamu tapi kena asimilasi maknanya kita mesti jadikan Bahasa Malaysia dan budaya Malaysia ada nilai komersial tetapi kalau selagi orang India bercakap Tamil, berniaga dalam bahasa Tamil, Cina dalam bahasa Mandrin, Melayu dalam bahasa Melayu, bahasa Malaysia tidak akan jadi bahasa komersial dan kita lihat bukti filem bahasa malaysia boleh jual, kandungan dalam bahasa Malaysia boleh jual jadi maknanya sebuah bangsa atau budaya boleh jadi kuat kalau didokong semua penduduk tapi kalau kita berpecah, berkeras dan semakin membenci maka kekayaan akan hancur juga, orang yang miskin akan memberontak. Jadi lakukan sesuatu, selesaikan kemelut ini dan yang paling besar apa isu selesaikan, selagi tidak selesai saya bimbang dan saya takut, sekarang tanglung nanti nama along pun orang marah.

Saya bukan emosi tetapi kenapa saya cakap begini kerana saya hendak sampaikan mesej ini dengan jelas kepada pemimpin kepada orang Melayu, India dan Cina kalau kita tidak hentikan perselisihan ini kita sama-sama akan rugi dan kalau pemimpin tidak hentikan maka mereka akan kalah besar nanti, kemudian sentimen agama dan kaum, tidak boleh digunakan lagi, anda boleh jadi popular tetapi untuk jangka masa panjang kita sudah tertinggal jauh kerana dulu Malaysia adalah negara termaju di Asia Tenggara. Kenapa ? kerana pengurusan teruk, tiada integriti dan perpecahan, rakyat tiada ada kebangaan sebagai rakyat Malaysia. Kenapa Thailand maju ? Kerana kebanggaan sebagai rakyat Thai, walaupun dia India beragama Hindu tapi dia Thai, tidak ada satu negara yang tiada identiti budaya sendiri, tetapi mana identiti budaya kita? Kita ke Indonesia dan lihat identiti budaya mereka, Malaysia ? Tidak tahu apa budaya. Kita kena bersungguh-sungguh bersatu makna, orang Melayu boleh cakap Cina, boleh faham bahasa Tamil, orang Cina juga sama, tetapi kalau macam sekarang jawi tiga muka surat, dalam logo polis tetapi tidak tahu apa. Anda tahu apa yang ditulis dalam logo polis? Polis sendiri tidak faham, kalau dia faham dia tidak ambil rasuah kerana Allah diatas kepala dia, saya tahu polis akan marah tetapi seseorang kena bercakap bercakap perkara ini dan menyentuh hati kerana Malaysia kena sedar hanya kita boleh selamatkan negara kita, kita harus bertindak jangan cakap di WhatsApp saja tetapi bertindak. 

Itu sebab mulai hari ini saya mahu mulakan satu kempen dan harap disambut tidak kira apapun agama dan bangsa kita Uninstall Hatred dan Reboot Malaysia dan juga global harmoni kita jadikan kempen besar-besaran dan dikongsi, orang Melayu dengan cara Melayu, orang Cina cara Cina, orang India cara orang India, kita ada satu titip persamaan iaitu kita mahu buang kebencian dalam komuniti kita supaya boleh hidup harmoni dengan komuniti lain.

 Jadi saya harap semua rakyat malaysia sokong kempen ini dan kalau boleh video ini dikongsi seramai mungkin, saya mohon maaf jika bahasa saya kasar, saya harap ambil niat saya, saya tidak sedia skrip tetapi saya bercakap dari hati kerana saya bimbang jika berlaku apa-apa. Kita sudah lihat apa berlaku dikuil Pucong dan orang Melayu Marah kerana isu itu tidak diselesaikan maka orang Melayu masih marah tapi kalau kita selesaikan isu-isu lain, jadi dengan sendirinya isu itu akan reda.

 Jadi jom sama-sama kita Uninstall Hatred dan Reboot Malaysia sekarang, saya tahu diperingkat ini adalah peringkat benci dah kalau tanglung yang kita beli untuk sama merayakan pun kita sudah fobia, paranoid, macam tengok hantu. 

Jawi yang dulu tiada apa-apa sekarang tengok macam nampak hantu, Dr Zakir Naik tengok macam hantu, sedangkan Dr Zakir Naik, dia bercakap pun saya tidak faham tetapi kita takut, jadi kita cipta hantu-hantu yang merugikan kita. Jadi sama-sama kita buang kebencian dalam bahasa sekarang Uninstall Hatred dan kemudian ‘unsintall prejudice’ yang lain dan masukan nilai, kita mestilah masukan negara bangsa kita dengan nilai-nilai murni.

Bukan saya hendak menyamakan semua agama tetapi saya belajar semua agama dan saya baca apa yang ditulis tetapi tidak menjadikan saya seorang Kristian tapi saya tahu banyak nilai-nilai yang bagus tetapi kita nak pertahankan agama tapi nilai kita terus terutama orang Islam, kalau bercakap tentang Islam sanggup berjuang fisabililah tapi solat tidak, menipu, duit rakyat ambil.

 Jadi saya harap ini adalah permulaan untuk titik penyatuan ummah dan rakyat Malaysia, kita hentikan, lakukan gencatan senjata dan mulai hari ini berhenti cakap isu panas dan pemimpin cari penyelesaian, semua ada penyelesaian cuma mahu buat atau tidak, bagi saya isu jawi, Dr Zakir Naik, UEC semua boleh selesai sekarang kerana kita terlampau banyak masa untuk tengok WhatsApp dan Facebook ini menyebabkan kita tidak dapat selesai masalah jadi sekarang orang bertanggungjawab, pemimpin dan pegawai selesaikan masalah dan rakyat kena jadi rakyat dengan baik dan buang ego dan kebencian dan menjadi cemerlang. 

Semua harus bekerja cari ilmu jadi terbaik tetapi orang takut tuhan dan cinta tuhan, orang berjaya didunia mati masuk syurga bagi bukan Islam ada cara masing-masing tetapi ada kesungguhan.

Saya tahu yang saya katakan ini risikonya tinggi tapi saya reda, kalau tidak buat nanti saya menyesal suatu hari nanti anak cucu saya duduk negara porak peranda dan kita lihat di Timur Tengah, India dan negera lain jadi semasa ada peluang rakyat perlu bersatu padu, pemimpin harus buat perkara betul, buat keputusan, buat kajian, lakukanlah dan majoriti rakyat akan sokong walaupun tidak popular netizen bukanlah ramai sangat sangat, yang tidak komen lebih 90 peratus.

Jadi tolonglah Perdana Menteri, menteri buat perkara yang betul dan  tidak perlu tweet lagi, buat kerja, buat keputusan dengan betul, laksanakan, lakukan sampai jadi dan bawa negara ini kearah kejayaan, lebih harmoni dan mendapat kemakmuran bersama. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here