
Menurut agensi berita Bernama, seorang pelajar dari selatan Kerala yang menuntut di Universiti Wuhan, China didapati positif dijangkiti virus berkenaan.
NEW DELHI – India melaporkan kes pertama mangsa virus Novel Coronavirus (nCoV 2019) ketika negara itu diletakkan dalam keadaan berwaspada terhadap penularan virus yang bermula di China itu.
“Ujian terhadap pesakit itu didapati positif dijangkiti novel coronavirus dan kini ditempatkan di wad pengasingan. Pesakit stabil dan masih dipantau rapi,” kata Kementerian Kesihatan India pada Khamis.
Kerajaan India menasihatkan orang ramai agar tidak mengunjungi China dan mereka yang pulang dari negara itu perlu sentiasa memantau tahap kesihatan.
Virus itu telah merebak di China dengan 170 kematian dilaporkan dan kira-kira 8,000 orang dijangkiti.
India bersiap sedia untuk membawa pulang rakyatnya yang terjejas oleh wabak itu di wilayah Hubei, China, kata Kementerian Luar Negeri.
Kerajaan turut mengadakan talian bantuan 24 jam untuk menyalurkan maklumat mengenai coronavirus dan pasukan perubatan telah ditempatkan di lapangan terbang bagi menjalankan pemantauan.