[VIDEO] Influenza A: Kerisauan ibu bapa mula memuncak

0
269
GURU Sekolah Kebangsaan Cyberjaya 1 melakukan pemeriksaan suhu badan ekoran penularan wabak influenza-A sejak minggu. FARID JANUDIN

CYBERJAYA – Ibu bapa dan orang ramai berharap langkah sewajarnya diambil oleh kerajaan dalam mengurangkan risiko jangkitan wabak influenza A daripada berlarutan.

Influenza A : Saringan di pintu sekolah

Usaha tersebut termasuk melakukan saringan secara menyeluruh, menyediakan peralatan kawal kebersihan malah ada mengesyorkan supaya sekolah ditutup buat sementara waktu.

Tinjauan Malakat Tribune di Sekolah Kebangsaan Cyberjaya 1 di sini hari ini mendapati rata-rata ibu-bapa bimbang terhadap aspek kesihatan anak-anak mereka.

Penularan wabak yang boleh membawa maut itu menjadi lebih merungsingkan ekoran kehabisan stok vaksin di kebanyakan klinik swasta.

Seorang bapa murid yang hanya mahu dikenali sebagai Nadhan berkata, kerajaan perlu bertindak dan menyediakan bekalan vaksin yang mencukupi ekoran penularan virus berkenaan.

“Setahu saya bayaran untuk menerima vaksin ini adalah sekitar RM60 hingga RM80 tetapi sekarang banyak yang menaikkan harga kerana keputusan stok,” katanya.

Pemandu van sekolah, Normala Mohd Salim berkata, kerajaan patut mengambil langkah menutup sekolah yang mempunyai kes jangkitan influenza-A.

Langkah itu katanya bagi mengelak penularan wabak ke tahap yang lebih serius dan mengurangkan kerisauan ibu bapa.

“Pagi ini saya dimaklumkan oleh salah seorang ibu bapa murid bahawa anak mereka positif influenza-A.

“Pada saya elok tutup sahaja dahulu sekolah pada masa ini. Itu langkah yang sebaiknya,” katanya.

Bapa murid, Rizaludin Mohd Hasni berkata, pemeriksaan kesihatan dan saringan melalui bacaan suhu badan murid yang dilakukan oleh guru diharap dapat mengurangkan risiko jangkitan.

“Saya berterima kasih atas usaha dan langkah pencegahan yang diambil oleh pihak sekolah,” katanya.

Jabatan Pendidikan Selangor pada Khamis lalu melaporkan sebanyak 30 sekolah terlibat dalam kes influenza-A termasuk 3 kes di sekolah menengah. Klang menjadi daerah dengan kes tertinggi iaitu 37 kes, Sepang (13), Kuala Selangor (5), Petaling (5), Gombak dan Kuala Langat (1). Sehingga kini tiada sekolah ditutup dan seramai dua orang guru disahkan dijangkiti virus berkenaan.- MT

GURU Sekolah Kebangsaan Cyberjaya 1 melakukan pemeriksaan suhu badan ekoran penularan wabak influenza-A sejak minggu lalu. FARID JANUDIN
MURID Sekolah Kebangsaan Cyberjaya 1 memakai topeng muka ekoran penularan wabak influenza-A sejak minggu lalu. FARID JANUDIN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here