[VIDEO] Influenza: Utamakan aspek kebersihan

0
303

CYBERJAYA – Kaedah terbaik untuk mencegah daripada dijangkiti virus Influenza ialah dengan vaksinasi namun, beberapa tabiat dan amalan kebersihan juga boleh membantu serta perlu diberikan keutamaan.

Antaranya ialah jauhkan anak anda daripada kanak-kanak atau orang lain yang sakit, cuci tangan menggunakan sabun dan ‘hand sanitizer’ selain mengamalkan adab dan batuk yang baik selain cara hidup sihat.

Influenza: Utamakan aspek kebersihan

Pengamal perubatan swasta Dr. Anis Izzati Abd. Rahman berkata, mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza dinasihatkan berjumpa doktor untuk pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Dr. Anis Izzati berkata, virus Influenza ialah jangkitan dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan serta cirit-birit dan muntah bagi kanak-kanak.

“Ia boleh berlaku dengan cepat dan berpotensi menyebabkan komplikasi yang lebih teruk. Virus influenza amat mudah berjangkit melalui titisan air dari mulut dan hidung. Jadi jangan ambil mudah.

“Virus Influenza adalah penyakit berjangkit yang menyebabkan jangkitan kepada salur pernafasan termasuklah hidung, tekak dan paru-paru,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune di sini hari ini.

Sebelum ini, Pakar perubatan, Dr. Zubaidi Ahmad menyifatkan virus Influenza sebagai penyakit yang amat berbahaya kerana mudah merebak melalui batuk dan bersin serta boleh membawa maut jika jangkitan merebak ke paru-paru ekoran kesukaran untuk bernafas.

Dr. Zubaidi berkata, situasi berkenaan kerana jangkitan boleh berlaku sekiranya seseorang individu menyedut udara tercemar dengan virus itu atau terkena titisan cecair dari hidung atau mulut mereka yang dijangkiti Influenza.

Menurut Dr. Anis Izzati, Influenza dibahagikan kepada empat jenis iaitu, Influenza A, Influenza B, Influenza C dan Influenza D.

Antara ketiga-tiga kategori itu, Influenza A dan B kerap menyebabkan penyakit bermusim serta wabak dan berpotensi menyebabkan jangkitan demam selesema yang teruk.

“Jangkitan Influenza A dan Influenza B ini boleh merebak dengan cepat dan menyebabkan pelbagai komplikasi yang teruk terutamanya kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak bawah lima tahun, ibu mengandung dan warga emas.

“Jangkitan virus itu juga boleh memberi kesan kepada mereka yang mempunyai penyakit kronik memandangkan sistem imun badan mereka lemah,” katanya yang juga merupakan pemilik Klinik Aiza di Dengkil.

Selain itu katanya, apabila pesakit sudah disahkan positif Influenza, mereka perlu mendapatkan rawatan di klinik dan rawatan antiviral akan diberikan kepada pesakit mengalami gejala yang teruk dan berisiko tinggi yang bertujuan menyembuhkan pesakit dengan segera serta mencegah daripada berlakunya komplikasi.

“Antiviral boleh boleh memberi mereka kelegaan, mempercepatkan proses penyembuhan selain mencegah komplikasi Influenza yang serius” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai stok bekalan vaksin untuk virus Influenza di kebanyakan klinik swasta, Dr. Anis Izzati berkata, permintaan luar jangka ketika ini menyebabkan kebanyakan klinik kehabisan stok vaksin.

“Insya-Allah untuk Klinik Aiza, bekalan vaksin dijangka sampai akhir bulan ini dan mereka yang berdekatan boleh mendapatkan vaksin di sini dan kami juga menyediakan pemeriksaan Influenza. Untuk mereka ingin mendapatkan ubat-ubatan segera, saya nasihatkan dapatkan preskripsi terlebih dahulu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Anis Izzati menyambut baik inisiatif kerajaan yang meluluskan satu juta bekalan alternatif tablet vaksin Influenza A kepada klinik swasta untuk manfaat kira-kira 100, 000 pesakit.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here