INI CERITA KAMI

0
135

“Raya haji, raya puasa kita tak dapat sambut, takpa kita sambut Krismas,” tegas bos paling besar di Utusan Malaysia ketika sambutan ulang tahun ke-80 syarikat keramat bangsa Melayu itu sambil disambut tepukan dan ketawa puluhan pekerja ketika itu.

Tetapi janji-janji manis penuh pengharapan ini bukan hanya disebut sekali, kali kedua orang yang sama masih menyebut perkara sama selang beberapa hari Kesatuan Sekerja Utusan Malaysia (NUJUM) mengadakan piket aman pada bulan Ogos lalu bagi menuntut tunggakan gaji dan elaun lain.

Cuma kali ini, harapan yang diberikan untuk tidak menguburkan Utusan dibuat di hadapan ratusan petugas Utusan di sebuah dewan besar dalam bangunan Utusan sendiri.

Lega seketika apabila mendengar janji-janji manis penuh bersemut ini. Tetapi langit yang disangka cerah, rupanya hujan di tengah hari. Semua harapan yang diberikan untuk memajukan Utusan menjadi terbalik yang akhirnya berakhir dengan satu kepalsuan maha dahsyat.

Tanggal 9 Oktober 2019, pasti menjadi detik hitam dan tidak boleh dilupakan bagi 823 kakitangan Utusan. Masakan tidak, tanpa notis awal dan tidak sampai 24 jam kami diarahkan mengosongkan pejabat di seluruh negara dalam keadaan semua terpinga-pinga.

Angin tiada ribut tiada tiba-tiba kami diarahkan mengosongkan meja dan pejabat dalam masa enam jam berikutan syarikat mengumumkan penutupan sukarela kerana dibebani hutang yang tinggi.

Lebih membuatkan ramai terkilan apabila orang yang berjanji tidak akan menguburkan Utusan langsung tidak kelihatan waktu itu tanpa diketahui ke mana hilangnya dia.

Bagi petugas Utusan, berita yang diterima ini umpama panahan halilintar, pelbagai perasaan timbul. Ada yang kecewa, marah dan sedih. Selama berbelas malah puluhan tahun bekerja dengan syarikat akhbar Melayu tertua di negara, akhirnya ini balasan diterima.

Penutupan syarikat amat mengejutkan tetapi lebih mengecewakan gaji semua kakitangan masih tertunggak dua bulan yang belum dibayar sehingga kini. Pampasan? Jangan diharapkan langsung selagi gaji tertunggak belum dijelaskan sehingga saat ini.

Selepas penutupan Utusan, masing-masing menjadi tidak keruan. Tiada pendapatan sampingan yang ada, bahkan untuk mencari kerja kosong dalam industri media semakin tipis apabila diberitakan rakan-rakan di Media Prima juga bakal mengalami nasib sama.

Cuma yang boleh menghilangkan sedikit keraguan ialah apabila dalam kalangan bos-bos menyebut ada 60 nama di jabatan pengarang akan diserapkan semula untuk menghidupkan semula Utusan 2.0.

Malangnya ini pun satu lagi janji palsu, selepas sebulan ke sebulan akhirnya hampir masuk bulan ketiga satu bayang pun tidak kelihatan.

Semua sudah letih dan pasrah, hanya pada Allah tempat berserah.

Yang bermain dalam fikiran seluruh warga Utusan ialah bagaimana mahu menyambung semula kemahiran yang dimiliki untuk meneruskan perjuangan dan memberi makan keluarga di rumah.

Jika hanya duduk diam di rumah sambil menunggu panggilan semula mungkin kami semua ‘makan asap’ di rumah. Mahu tidak mahu apa juga peluang untuk menghasilkan duit perlu dikorek.

Termasuk penulis, daripada seorang wartawan terus bertukar profesion menjadi penghantar barangan bagi meneruskan perjuangan hidup.

Apabila ditanya pada rakan-rakan lain,jawapan mereka juga sama, selain menjadi penghantar makanan dan menjadi pemandu e-hailing, ada juga yang bekerja sebagai pemotong rumput, mengecat penghadang jalan dan menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk meneruskan kehidupan.

Namun begitu, dalam ramai-ramai rakan di Utusan penulis hubungi hanya seorang yang memberikan jawapan berbeza.

Sharaimei atau lebih mesra dipanggil ‘mamu’ oleh rakan-rakan sekerja di Utusan ketika itu memberitahu sedang dalam perancangan untuk mewujudkan sebuah portal berita bagi memperjuang dan mengetengahkan berita-berita mengenai usahawan Muslim atau kini lebih dikenali sebagai BMF.

Katanya, dia telah berjumpa dengan seorang individu hebat yang boleh membantu kami tidak ‘mengkuburkan’ bakat dan kemahiran dimiliki ketika di syarikat lama dahulu.

Yang diperlukan sekarang ialah satu pasukan yang boleh bekerjasama dalam keadaan serba baharu dan sanggup berhadapan cabaran baharu.

Lantas, satu kumpulan kecil diwujudkan untuk membentuk sebuah portal berita.

Bermula dengan lima bekas kakitangan warga Utusan, pelbagai topik dibincangkan untuk membina sebuah portal berita dikenali sebagai Malakat Tribune.

Sebenarnya, bukan mudah untuk menyakinkan sesiapa jua untuk melabur dalam satu perniagaan baharu dan tambahan pula perniagaan media dimomokkan sebagai tidak mempunyai masa hadapan lagi.

Bagi menyakinkan pihak pelabur, beberapa pertemuan diadakan dengan bersama rakannya untuk menambah baik portal yang dicadangkan ini.

Kami mencadangkan portal ini menyiarkan berita semasa dalam dan luar negara selain memperjuangkan isu-isu BMF bagi memperkasakan ekonomi Muslim ke tahap lebih tinggi selain mempertahankan agama Islam yang menjadi majoriti penduduk di negara ini.

Menjadi keutamaan kami mengangkat kisah-kisah usahawan bumiputera selain mempromosi produk mereka dalam semua platform media sosial.

Menariknya kami diberi cabaran supaya menjadi usahawan. Satu cabaran baharu bagi semua warga Malakat Tribune. Selama ini kami memiliki kemahiran menulis, mengambil gambar dan video.

Maka pada akhir November lalu maka tertubuhnya portal Malakat Tribune. Kami seramai 10 orang ketika itu rasa terharu kerana diterima menyertai keluarga syarikat miliki insan berhati mulia ini.

Cahaya kembali bersinar. Kami meneruskan mencari rezeki di sana. Kemahiran kami tidak disia-siakan.
Selain penulis, Mohd. Fairuz Yusof bertindak sebagai pengarang, lapan lagi warga portal Malakat Tribune terdiri daripada mamu (penolong pengarang), Abdul Halim (wartawan eksekutif), Hakimi (wartawan eksekutif), Azrul Naimi (eksekutif media sosial), Rahmat Sabri (pemasaran dan pengiklanan), Muhamad Faiz (pereka grafik dan pembangunan web), Farid Janudin (jurugambar) dan Afizi (juruvideo) sedia membantu anda.

Kami bersedia membantu usahawan Muslim dan bumiputera mempromosikan produk-produk anda.

Kami juga memohon sokongan dan dokongan kepada semua usahawan serta masyarakat Muslim membantu kami menerima pakej-pakej iklan yang disediakan pada harga amat berpatutan.

Perjuangan diteruskan.

Terima kasih kepada individu istimewa ini dan warga kerja beliau yang menerima kami dalam keadaan terkapai-kapai untuk terus mencari rezeki dibumi Allah ini.- MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here