CYBERJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan keputusan untuk menangguhkan semua permohonan skim premis makanan bagi rangkaian restoran jenama Subway dibuat untuk memberi ruang kepada syarikat berkenaan membuat pembetulan dan penambahbaikan yang sewajarnya supaya memenuhi standard Pensijilan Halal Malaysia.
Menurut Jakim dalam satu kenyataan, masyarakat pengguna dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menularkan sebarang berita berkaitan isu yang tidak diketahui status kebenarannya.

“Perkara ini boleh dirujuk pihak berautoriti agar tidak terjebak ke kancah fitnah dan salah faham sesama ummah yang akan menjejaskan keharmonian negara.
“Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sila layari portal rasmi Halal Malaysia di www.halal.gov.my,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal.
Sementara itu, menyentuh surat dalaman yang tular itu, katanya, makluman yang dihantar adalah susulan isu kawalan bahan mentah yang lemah serta penemuan penggunaan penapis air yang mengandungi komponen dari haiwan.
Jelasnya, pemakluman itu sebagai penyelarasan dalaman antara Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN)
“Pihak kami telah menerima penjelasan dari JAIN berkenaan berhubung penularan surat tersebut dan berdasarkan maklum balas yang diterima mendapati ia telah diedar kepada kakitangan mereka tanpa mematuhi peraturan pengendalian dokumen kerajaan sehingga menjadi tular.
“Pihak Jabatan Agama Islam Negeri berkenaan juga akan melakukan penambahbaikan dengan memberikan peringatan kepada semua pegawai dan kakitangan untuk sentiasa mematuhi tatacara pengendalian dokumen kerajaan agar perkara seperti ini tidak berulang lagi pada masa akan datang,” ujarnya-MT