Jangan perjudi masa depan pendidikan negara

0
248

SHAH ALAM – Masa depan pendidikan negara tidak sepatutnya menjadi mangsa kerakusan ahli-ahli politik yang sehingga masih gagal membuktikan sistem persekolahan yang baik dan berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Brainy Bunch dan Kumpulan Raudhah, Fadzil Hashim berkata, sistem pendidikan negara masih berada jauh di belakang negara-negara maju kerana terlalu kerap menjadi bahan eksperimen orang politik.

“Terlalu kerap berlaku pertukaran polisi dan ketetapan oleh orang baharu. Sedangkan tiada kajian secara mendalam dilakukan untuk menyelesaikan masalah bidang ini.

“Perubahan yang tidak mengambil kira implikasi kepada pelajar diburukkan lagi dengan tindakan ahli-ahli politik yang memanipulasi isu-isu perkauman dan agama,” katanya.

Fadzil berkata demikian dalam Wacana Sinar yang membicarakan Masa Depan Pendidikan Negara di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam di sini semalam.

Program itu menampilkan dua lagi panel iaitu Mantan Ahli Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara KPM, Dr. Putri Afzan Maria Zulkifli ; dan Tokoh Guru Kebangsaan 2019, Nawie Ismail di bawah kendalian moderator CEO ARBA Foundation, Azlan Shah Nabees Khan.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya menyelesaikan masalah itu sebelum ia menjadi lebih buruk.

“Tun tak boleh membiarkan sahaja ahli politik memanipulasi dan meniup api perkauman demi kepentingan politik,”katanya.

Justeru katanya, sudah sampai masa untuk negara menguatkan semula semangat cintakan Malaysia melalui pendidikan misalnya dengan mewujudkan ko-kurikulum yang berteraskan perpaduan.

Selain itu Fadzil turut mencadangkan supaya sekolah-sekolah kebangsaan di negara ini diberikan kuasa ‘autonomi’ seperti yang dinikmati oleh sekolah-sekolah swasta.

“Walaupun sekolah kebangsaan mempunyai guru-guru dengan kualiti bertaraf dunia, orang masih menganggap sekolah swasta sebagai pilihan yang lebih berkualiti.

“Begitu juga dalam konteks pendidikan Islam yang mana pra sekolah swasta dianggap lebih islamik berbanding sekolah kerajaan sedangkan ia tidak sepatutnya begitu,” katanya.

Pada masa sama beliau memuji dan yakin terhadap keberkesanan sistem tanpa peperiksaan di sekolah yang tidak bersifat mengasingkan murid dan pelajar dalam menilai prestasi mereka.

“Pencapaian pada peringkat awal usia sebenarnya tidak banyak menentukan masa depan. Kita sepatutnya menyediakan kaedah penyelesaian dan bukannya pengasingan.

“Sebab itu di Brainy Bunch kita meletakkan asas pembentukan adab jauh lebih penting sebab kita mahu melahirkan manusia terlebih dahulu,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here