Kerajaan cadang tubuh Majlis Media

0
71

CYBERJAYA – Kerajaan bercadang untuk menubuhkan sebuah Majlis Media bagi mengawal selia industri media dan membuat pemantauan semasa berdasarkan undang-undang.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, pada masa sama majlis tersebut juga berfungsi untuk bertindak terhadap aduan orang ramai mengenai media.

Katanya, untuk permulaan majlis tersebut akan dianggotai 17 orang jawatankuasa proterm dengan diwakili oleh organisasi media cetak, elektronik dan atas talian, organisasi wartawan media tempatan dan antarabangsa, kesatuan wartawan serta wakil pertubuhan bukan kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo

“Majlis Media ini akan meliputi semua jenis media di Malaysia iaitu media cetak, elektronik dan atas talian. Ia akan memperkasa dan memastikan kebebasan media serta hak-hak pengamal media yang lebih bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, jawatankuasa proterm itu ditubuhkan berikutan keputusan jemaah menteri pada 6 Disember lalu yang telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan para pengamalnya.

Dalam pada itu, katanya, jawatankuasa itu diberikan masa selama dua bulan untuk membincang dan meneliti penyediaan rang undang-undang (RUU) bagi penubuhan serta fungsi-fungsi majlis tersebut.

Katanya, draf RUU yang akan dirangka itu meliputi lima bidang utama iaitu objektif dan fungsi majlis, perlembagaan majlis dan keahlian, kod tatalaku, kaedah penyelesaian pertikaian dan peruntukan umum termasuk mengkaji undang-undang semasa yang perlu dimansuhkan atau dipinda apabila majlis itu dibentuk. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here