
JAKARTA 2 Jan. – Jumlah mangsa yang terkorban akibat banjir kilat dan tanah runtuh di ibu negara Indonesia dijangka meningkat kepada lebih 20 orang.
Memetik berita agensi, pihak berkuasa negara itu berkata, banjir yang direkodkan sebagai terburuk sejak beberapa tahun lalu itu kini menyebabkan kira-kira 30,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.
Limpahan air yang mengganas di beberapa sungai utama itu juga memusnahkan banyak kemudahan awam seperti perkhidmatan kereta api dan gangguan bekalan elektrik.
Jurucakap Kementerian Sosial, Joko Hariyanto memberitahu, jumlah kematian sehingga kini sudah meningkat kepada 21 orang.
Beberapa bahagian Jakarta dan bandar berhampiran dinaiki air selepas dilanda hujan lebat pada 31 Disember dan hari keesokan.
Agensi kaji cuaca Indonesia turut meramalkan hujan lebat yang diikuti ribut petir dan angin kencang, lewat hari ini.
Pihak berkuasa tidak memberikan perincian penuh mengenai punca kematian kesemua mangsa namun laporan awal menyebut, 16 daripada mereka masing-masing menemui ajal akibat lemas, tanah runtuh dan kejutan elektrik manakala tiga lagi meninggal dunia kerana hipotermia.
Jakarta adalah penempatan kepada lebih 30 juta penduduk.
Pada 2007. lebih daripada 50 penduduk maut akibat banjir manakala sebahagian besar bandaraya itu ditenggelami air lima tahun lalu apabila muatan terusan melimpah keluar.
Pihak berkuasa juga sejak beberapa tahun lalu melaksanakan pelbagai langkah bagi meningkatkan keupayaan bandar berkenaan dalam menghadapi banjir pada setiap musim tengkujuh.