
CYBERJAYA 22 Dis. – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) tidak dapat memenuhi permintaan bantuan bekalan air melalui lori tangki air kepada semua pengguna yang terjejas berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sejak semalam.
Menurut Air Selangor dalam satu kenyataan, situasi itu disebabkan insiden yang berlaku melibatkan kawasan berskala besar.
Berikutan itu, katanya, bantuan lori tangki air akan diberikan keutamaan kepada pengguna dan premis kritikal serta kecemasan sahaja.
“Justeru, bagi mengelakkan kelewatan penerimaan bekalan air melalui lori tangki air, pengguna dinasihatkan agar mendapatkan bantuan air kecemasan di pusat khidmat setempat (PKS) dan pili-pili awam yang telah disediakan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, sehingga pukul tiga petang hari ini, pihaknya telah menggerakkan sebanyak 70 buah lori tangki air, 14 buah lori tangki jumbo dan mengaktifkan 11 PKS yang beroperasi 24 jam serta lapan lokasi pili awam bagi menyalurkan bantuan air kecemasan kepada pengguna yang terjejas.
Tambahnya, sebanyak enam lagi lokasi pili awam akan ditambah mulai malam ini dan awal pagi esok menjadikannya 14 dan lokasi akan dimaklumkan menerusi media apabila ianya siap.
“Selain itu, edaran air botol 5 liter sebanyak 2,268 botol kepada pengguna terutamanya yang berada di kediaman bertingkat juga dilaksanakan,” ujarnya.
Sementara itu, menurutnya, Air Selangor juga belum dapat menjangkakan bila loji boleh beroperasi semula kerana ia bergantung kepada tahap pencemaran dan sasaran pemulihan hanya akan dapat dianggarkan setelah loji kembali beroperasi.
Sehubungan itu, ujarnya, pengguna dinasihatkan mendapatkan maklumat dan status terkini melalui aplikasi telefon bimbit Air Selangor atau layari laman sesawang www.airselangor.com.my, Facebook Air Selangor dan Twitter @airselangor yang dikemaskini dari semasa ke semasa.
“Bagi kes-kes kecemasan, pengguna juga boleh menghubungi kami di talian 15300 atau SMS <Tanker> <Alamat> dan hantar ke 15300 atau WhatsApp ke 019-281 6793 / 019-280 0919,” katanya.-#MalakatTribune