RAUDHAH CITY – Penubuhan pusat beli belah pertama Buy Muslim First (BMF), Malakat Mall di sini yang bakal beroperasi pada Mac ini dilihat semakin berjaya untuk menarik minat orang ramai untuk menyokong kempen membeli produk keluaran dan edaran peniaga Muslim.
Menurut Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya, sejak pusat beli belah itu diumumkan bakal beroperasi, banyak produk yang telah menyatakan minat untuk memasarkan produk mereka.
“Setakat ini, banyak produk telah dikenal pasti, tetapi pihak kami juga masih memerlukan banyak lagi produk Muslim.

“Pada masa sama, kita juga sedang berusaha untuk mendapatkan pengusaha-pengusaha yang bersedia untuk bersama-sama dalam menjayakan Malakat Mall,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kempen BMF, katanya, setiap hari kempen tersebut semakin mendapat sokongan daripada para peniaga.
“Perkembangan kempen ini sangat menggalakkan sehingga ke hari ini. Pihak kita telah dihubungi oleh satu jaringan peniaga yang mempunyai 2,500 rangkaian yang memerlukan bekalan dan sokongan produk Muslim.
“Selain itu, kita juga diberi mandat bagi membantu 600 masjid di seluruh Pahang. Bagi Kelantan dan Terengganu pula, ditangguhkan sementara, akibat banjir yang melanda sebelum ini.
“Sehubungan itu, bagi menjayakan usaha ini kita sekarang sedang membina prasarana yang diperlukan dengan bantuan para peniaga,” katanya.
Sementara itu, majlis pra pelancaran Malakat Mall yang terletak berhampiran pusat beli belah, D’Pulze di Cyberjaya akan berlangsung esok dengan dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim yang juga pengasas Malakat Mall.-MT