Mangsa banjir di Rompin meningkat

0
148

CYBERJAYA 15 Dis.- Mangsa banjir di Rompin, Pahang terus meningkat apabila sebanyak 681 mangsa daripada 176 keluarga dipindahkan setakat pukul 8 pagi hari ini.

Semalam hanya 144 mangsa membabitkan 36 keluarga dipindahkan setakat pukul 6 petang dengan lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah berkenaan.

Menurut aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS yang dibuka juga bertambah hari ini kepada sembilan berbanding lima pada petang semalam.

Sembilan PPS itu ialah Balairaya Lintang/ Surau Kampung Perpat; Dewan Telok Gading, Tanjung Gemok; Balai Raya Kampung Sepayang; Balai Raya Kampung Janglau; pusat pemindahan Banjir Kampung Setajam.

Selain itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Pianggu; Dewan Angkat Berat Rompin; SK Sarang Tiong dan Balai Raya Bukit Lepas.

Semua mangsa banjir dipindahkan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggunakan lori dan bot penyelamat.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Penolong Pesuruhjaya (PA), Zainal Yusof berkata, tiga jalan di Rompin kini ditutup kepada kenderaan sejak pukul 11 malam tadi iaitu Jalan Kampung Denai, Jalan Kampung Sungai Mok dan Jalan Lubuk Batu.

“Paras Sungai Pukin di Rompin juga kini di tahap 0.13 meter melepasi tahap waspada dengan jangkaan berlaku hujan pagi ini.

“Bagaimanapun, sembilan lagi sungai di daerah sama menunjukkan trend meningkat, namun masih berada di tahap normal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, sehingga semalam, sebanyak 171 mangsa daripada 45 keluarga di Mersing dan Kota Tinggi, Johor ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir berikutan hujan lebat di kawasan berkenaan.-#malakattribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here