Mansuh elaun kritikal tangguh, kajian semula dilakukan

0
92

CYBERJAYA – Pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) membabitkan pelantikan baharu yang dijadulkan bermula 1 Januari 2020 ditangguhkan.

Memetik portal Ismaweb.Net, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, satu kajian semula akan dilaksanakan dengan pihak yang berkaitan dan diputuskan oleh Jemaah Menteri.

“Sehubungan itu, pelaksanaan pemansuhan BIPK kepada pegawai lantikan baharu membabitkan 33 skim perkhidmatan seperti dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 adalah ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Antara skim perkhidmatan berkenaan ialah pegawai kawalan trafik udara, pegawai perubatan, pembantu perubatan, penerbit rancangan, arkitek, arkitek laut, jururawat, jurutera, jurutera laut, pegawai farmasi, pegawai perikanan, pegawai pergigian, pegawai undang-undang, pegawai penyelidikan serta juruukur bahan.

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, berdasarkan kajian terbaharu dilaksanakan pada 2019 mendapati semua 33 skim perkhidmatan yang diperuntukkan dengan BIPK tidak lagi menepati kriteria pemberian asal, iaitu skim-skim perkhidmatan berkenaan tidak lagi kritikal kerana tidak lagi memenuhi kriteria ciri-ciri penawaran yang rendah serta pengisian jawatan yang sukar dilakukan.

Tindakan pemansuhan bayaran insentif itu bagaimanapun mencetuskan ketidakpuasan hati ramai pihak termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

MMA turut melancarkan petisyen bagi membantah perkara tersebut.

Pihak MMA berkata, tindakan terbaharu itu memberi kesan kepada kakitangan muda yang bakal berhadapan dengan penurunan 15 peratus daripada gaji mereka.

Sumber berita daripada portal Ismaweb

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here