Maszlee mangsa kapitalisme?

0
80

BERITA perletakan jawatan Dr. Maszlee Malik daripada barisan Kabinet kerajaan pada Khamis lalu mencetuskan pelbagai reaksi. Ada yang gembira dan tidak kurang juga menganggap beliau sebagai mangsa percaturan.

Bermula sebagai menteri yang dilihat banyak menimbulkan krisis dan kerap dikritik rakyat, imej Maszlee boleh dikatakan ‘hampir pulih’ sebelum melepaskan jawatan Menteri Pendidikan.

Kontroversi beliau bermula dengan idea pemakaian kasut hitam yang disifatkan warga maya sebagai terlalu remeh untuk difikirkan oleh seorang menteri.

Sejak memegang jawatan menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Maszlee terus-menerus diuji dengan pelbagai isu berkemelut seperti Penerimaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), tulisan jawi, peruntukan sekolah Cina sehinggalah kuota kemasukan bumiputera ke matrikulasi.

Maszlee dicop sebagai menteri yang lebih menimbulkan banyak krisis berbanding menghasilkan pengcapaian. Imej Maszlee diburukkan lagi dengan kelemahan kumpulan media kementeriannya dalam memperbetulkan persepsi yang akhirnya menjejaskan imej beliau.

Pengakhirannya, isu-isu tersebut ditukar menjadi senjata untuk mencucuk sentimen perkauman sehingga beliau sendiri dikritik oleh pemimpin-pemimpin kelompok tertentu.

Dalam satu tinjauan yang dilakukan sebuah portal, Maszlee tersenarai pada tempat kedua tercorot daripada 29 menteri Kabinet, satu tangga lebih baik daripada Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof.

Namun selepas perletakan jawatan beliau, rakyat khususnya penjawat awam dan warga kementerian itu tampil mempertahankan mantan ketua mereka yang dilihat telah melaksanakan tugas seorang menteri dengan baik.

Sebagai individu yang mempunyai latar belakang akademik yang kuat, bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu dikatakan lebih banyak melakukan
pendekatan praktikal berbanding secara berkempen.

Ramai mula sedar bahawa fokus utama pentadbiran beliau lebih menumpukan usaha menyelesaikan urus tadbir dan masalah yang selama ini menjadi punca masalah pendidikan yang tidak berkesudahan.

Bagaimanapun warga maya berpendapat perletakan jawatan beliau
tidak hanya berpunca daripada kritikan atau persepsi semata-mata kerana jika diikutkan logik ada lebih ramai menteri Kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak ‘perform’.

Ramai melihat perletakan jawatan beliau berpunca daripada tekanan pihak luar termasuk tangan-tangan ghaib yang mempunyai pengaruh besar dalam politik. Besar kemungkinan daripada taikun-taikun perniagaan atau pejuang-pejuang NGO berkepentingan tertentu.

Itu langsung tidak pelik kerana kementerian yang dipimpin beliau adalah kementerian paling banyak menerima peruntukan bajet dari kerajaan.

Sudah tentu apa yang diputuskan Maszlee memberi banyak kesan.

Malangnya ketika imej Maszlee mula ‘pulih’ di mata rakyat dan warga maya beramai-ramai menganjurkan petiysen bantahan perletakan jawatan itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam dari
Parti Bersatu Pribumi Malaysia tersebut telah terbukti tewas dalam perjuangan sebagai pemimpin.

“Saya sebagai menteri yang menerajui KPM lebih dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepemimpinan seperti isu
jawi, Internet sekolah dan isu sarapan percuma dan juga beberapa isu sampingan yang lain,” kata beliau yang jelas seperti kehilangan punca.

Perjuangan Maszlee sebenarnya tidak wajar terhenti tanpa melawan semula. Apatah lagi jika ia perjuangan menentang campur tangan kapitalisme.

Dan jika tidak berupaya sekali pun dalam mempertahankan prinsip berani kerana benar secara sendirian. Beliau wajar dilindungi daripada puak-puak kapitalis oleh barisan kepimpinan menteri yang lain.

Tetapi adakah dalam kalangan pemimpin Melayu berani mengambil pendirian yang tegas dalam hal ini. Apa pun puncanya, perletakan jawatan Maszlee adalah seperti kehilangan sebutir permata tanpa pembelaan
sewajarnya.

Dan sudah tentu kemelut seperti ini jika tidak dicantas akarnya akan terus merimbun dan akan membuahkan masalah yang sama pada masa akan datang.

Perkara yang sama akan tetap berulang tidak kira siapa sekalipun pengganti Maszlee. Apatah lagi jika pemimpin baharu yang mengambil alih tugas itu nanti adalah pemimpim yang tidak mempunyai kekuatan politik secara individu. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here