MED terus komited bantu usahawan PKS

0
238

CYBERJAYA 7 Jan.- Kementerian Pembangunan Usahawan dan agensi-agensi di bawahnya terus komited untuk membantu usahawan-usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memacu perkembangan sektor itu.

Kementerian itu dalam satu kenyataannya berkata, sektor PKS sudah berada di atas asas yang kukuh untuk bergerak kehadapan dan tahun 2020 memberikan ruang serta peluang terbaik jmenjangkau prestasi yang lebih baik.

“Berdasarkan unjuran yang diumumkan semasa Belanjawan 2020, ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang pada 4.7 peratus pada pada tahun lalu dan sedikit meningkat kepada 4.8 peratus pada tahun ini.

“PKS juga dijangka mendapat manfaat daripada Belanjawan 2020 yang memperuntukkan sebanyak RM13.1 bilion sebagai langkah-langkah untuk merangsang pertumbuhan ekonomi selain memberi manfaat kepada perniagaan dan usahawan.

“Perolehan kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada sumber barangan yang dibuat oleh PKS pada penganjuran mesyuarat dan program Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020,” kata kementerian itu dalam satu kenyataannya di sini hari ini.

Menurut kementerian itu lagi, penganjuran APEC 2020 dijangka dapat membuka peluang kepada Malaysia untuk meningkatkan aktiviti-aktiviti pelancongan sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia 2020, di mana PKS akan mendapat manfaat secara langsung dan tidak langsung.

Katanya, dari perspektif yang lebih besar, PKS perlu meraih sepenuhnya manfaat digitalisasi dan teknologi terkini yang membolehkan transformasi proses perniagaan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Sejajar dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030 dan peri pentingnya denyut nadi PKS, SME Corporation Malaysia akan menganjurkan sesi Menteri Pembangunan Usahawan Bersama PKS pada 21 Januari ini sebagai satu saluran untuk mendapatkan maklumbalas mengenai program- program pembangunan PKS.

“Sesi ini akan memberi peluang PKS untuk berdialog dengan Menteri Pembangunan Usahawan. Justeru, semua usahawan PKS diminta menghubungi SME Corporation Malaysia untuk menempah tempat dalam sesi tersebut.

Dalam pada itu katanya, kementerian akan memastikan hubungan erat dengan PKS terus terjalin bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan dan negara yang makmur dapat dicapai selaras dengan DKN2030 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here