Mengapa Raja Permaisuri Agong nyahaktif akaun Twitter

0
448
Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

CYBERJAYA – Ramai dalam kalangan warga maya khususnya pengikut akaun Twitter Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tertanya-tanya mengapa baginda menyahaktif akaun Twitter milik baginda baru-baru ini.

Persoalan itu timbul kerana adakah segelintir warga maya yang ‘menyerang’ baginda berkaitan isu tulisan jawi yang diperjuangkan baginda atau sebaliknya.

Bagaimanapun menurut sumber rapat dari istana memaklumkan Tunku Azizah gering dan dimasukkan ke hospital sejak Selasa lalu.

Menurut sumber, baginda dimasukkan ke hospital selepas pulang menunaikan umrah bersama keluarga baginda baru-baru ini.

“Alhamdulillah, baginda dibenarkan keluar dari hospital Sabtu lalu selepas menerima rawatan tersebut dan kini keadaan Tunku Azizah baik.

“Mungkin Tunku Azizah menyahaktif akaun Twitter milik baginda supaya kondisi baginda berada dalam keadaan baik semasa menerima rawatan di hospital,” kata sumber itu kepada Malakat Tribune hari ini.

Sebelum ini Malakat Tribune serta beberapa portal berita melaporkan Tunku Azizah menyahaktif akaun milik baginda sekali lagi tanpa mengetahui sebabnya.

Tindakan baginda itu menimbulkan persoalan ramai pihak terutama pengikut baginda yang sentiasa menantikan ciapan baginda.

Baginda juga turut menggunakan tulisan jawi sebagai cara memperkasakan tulisan itu sehingga diikuti ramai pengikutnya.

Tambah sumber, beliau tidak dapat memastikan bilakah Tunku Azizah akan kembali mengaktifkan akaun Twitter namun berharap rakyat mendoakan supaya baginda kembali pulih seperti sedia kala. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here