MSBN anjur majlis makan malam

0
120

CYBERJAYA – Majlis Sukarelawan Bencana Negara (MSBN) akan menganjurkan majlis makan malam penghargaan dan penyerahan watikah pelantikan pegawai kehormatnya bagi tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa MSBN, Datuk Zuhairi Ab. Kadir berkata, makan malam berkenaan akan diadakan pada 28 Mac depan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

“MSBN telah pun menghantar surat jemputan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk turut sama memeriahkan majlis berkenaan.

“Selain itu, MSBN turut menjemput Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zuhairi berkata, penubuhan MSBN sebagai inisiatif kesiapsiagaan untuk digerakkan ke lokasi terjejas bagi memberi khidmat sokongan membantu mangsa bencana.

Jelasnya, bencana bukan hanya dalam ruang lingkup banjir semata-mata, tetapi skop yang luas termasuk membantu operasi mencari dan menyelamat orang hilang.

“Bencana turut melibatkan kebakaran hutan, kemalangan, pesawat terhempas, bangunan dan tanah runtuh serta tsunami yang memerlukan tindakan penggemblengan tenaga ekstensif menurut garis panduan ditetapkan pihak berkuasa agar lebih sistematik dan strategik dari segi pengurusan dan pergerakan bantuan,” ujarnya.

Katanya, MSBN turut menganjurkan program latihan intensif bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada pihak terlibat dalam persediaan menangani bencana untuk memastikan platform itu berfungsi dan berperanan seperti yang dimahukan.

“Kesiapsiagaan cukup penting untuk diterapkan dalam diri segenap lapisan masyarakat hari ini supaya menjadi satu budaya agar mangsa bencana mendapat perlindungan serta bantuan yang sewajarnya daripada semua pihak,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here