MyBest Buy: FAMA sasar RM16 juta setahun

0
133

PULAU PINANG – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan jualan RM16 juta bagi Program MyBest Buy (MBB) tahun ini.

Pengerusi FAMA, Ishak Ismail berkata, pihaknya optimis untuk mencapai sasaran itu berdasarkan rekod jualan pada tahun 2019 mencatatkan jumlah RM14 juta.

“Tidak seperti tahun sebelumnya, MBB kali ini membawa kelainan iaitu mewujudkan gerai MBB pada waktu malam kerana hendak memberi peluang kepada orang ramai yang tidak berkesempatan untuk membeli barangan dapur kerana terikat dengan waktu kerja pada siang hari,” katanya seperti dipetik Bernama selepas majlis pelancaran Program MyBest Buy @ Pasar Pagar Buloh di sini, semalam.

Katanya, FAMA sentiasa prihatin akan nasib rakyat yang kebanyakannya terdiri daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dengan menawarkan potongan harga sehingga 20 peratus bagi produk agromakanan yang terpilih.

“Bukan itu sahaja, FAMA melalui MBB buat pertama kalinya turut memberi fokus kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) yang juga terkesan dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Dalam pada itu, Ishak berkata menerusi program sedia ada pada tahun ini, FAMA merancang supaya MBB 2.0 difokuskan kepada lokasi institut pengajian tinggi awam dan swasta, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kawasan perumahan serta pejabat kerajaan.

“Untuk tahun ini, FAMA turut menyasarkan sebanyak satu juta pengunjung dengan melibatkan 40 lokasi secara tetap dan bermusim dengan kekerapan operasi sebanyak 1,600 kali di seluruh negara,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz dan Pengarah FAMA negeri Habibah Sulaiman.

Ishak berkata pencapaian keseluruhan bagi nilai jualan program MBB dari tahun 2014 sehingga 2019 adalah sebanyak RM72.3 juta dengan melibatkan seramai 2,746 usahawan serta kekerapan operasi sebanyak 7,351 kali.

“Kehadiran pengunjung sepanjang tempoh itu adalah seramai 8.9 juta orang dan dijangka terus meningkat kerana FAMA yakin program MBB sememangnya mendatangkan manfaat yang besar buat pengguna selain turut membantu usahawan tempatan untuk meningkatkan pendapatan mereka sehingga 40 peratus,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here